Search

header ads

[SINARH] 12 pesakit Tibi enggan teruskan rawatan dikenakan tindakan



KUALA NERUS - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil tindakan undang-undang terhadap 12 pesakit Tibi yang berhenti dan enggan meneruskan rawatan. Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, tindakan itu diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). "Berdasarkan data terkini, kita mempunyai 12 individu atau kes yang berhenti menerima rawatan dan telah diambil tindakan perundangan berdasarkan akta yang ditetapkan KKM. "Bagi kes-kes yang meninggalkan rawatan ini kita mempunyai prosedur tertentu iaitu langkah-langkah seperti menghubungi pesakit dan menjejaki mereka sekiranya pesakit gagal dihubungi. "Kita juga akan menghantar pegawai untuk mengesan pesakit yang berhenti mengambil rawatan selain menguatkuasakan akta perundangan sedia ada untuk diambil tindakan," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Kebangsaan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini pada Sabtu. Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasmani Embong. Dalam pada itu, Lukanisman berkata, pihaknya turut menubuhkan Program pembangunan keupayaan Ejen Kesihatan Komuniti Malaysia (MyCHAMPION) untuk membantu mengesan mereka yang berhenti mengambil rawatan. "MyCHAMPION adalah program sukarelawan di bawah KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk membantu mengesan dan juga membantu KKM menjalankan aktiviti-aktiviti misalnya saringan atau mencari mereka yang terhenti dan tidak tampil mendapatkan rawatan," ujarnya. Beliau berkata, rawatan bagi penyakit Tibi adalah kombinasi empat jenis antibiotik dan perlu diambil secara berterusan selama enam bulan. Beliau menambah, salah faham berkaitan penyakit Tibi serta stigma terhadap pesakit dan keluarga perlu dihentikan bagi merealisasikan hasrat Malaysia mencapai sifar Tibi menjelang 2035. "KKM menyarankan agar semua pesakit sentiasa mematuhi jadual rawatan yang ditetapkan. "Sokongan ahli keluarga, majikan, rakan sekerja dan masyarakat memainkan peranan penting bagi memastikan pesakit tidak terhenti rawatan. "Komitmen yang tinggi dari anggota kesihatan di samping kerjasama erat dari semua agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat diperlukan bagi merealisasikan hasrat Malaysia untuk menamatkan Tibi menjelang 2035," katanya.
Read more:SINARH
2023-05-20 15:27:0

Catat Ulasan

0 Ulasan