Search

header ads

[SINARH] 15 sekolah di ibu negara terjejas akibat ribut



SHAH ALAM - Sebanyak 15 sekolah di ibu negara dilaporkan terjejas akibat kejadian hujan lebat serta ribut yang melanda beberapa kawasan terutama di Kuala Lumpur pada petang Jumaat. Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, berdasarkan laporan yang diterima beliau, sekolah-sekolah terlibat mengalami kerosakan seperti bumbung tercabut dan pokok tumbang. Menurutnya, hujan lebat serta ribut yang berlaku itu agak teruk sehingga bukan sahaja sekolah dan rumah turut terjadi kejadian kenderaan dihempap pokok tumbang. "Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur sedang menjalankan semakan dan siasatan lanjut untuk mengenal pasti dengan lebih mendalam jenis dan tahap kerosakan semua sekolah yang terlibat. "Buat masa ini, JKR sudah menasihatkan pihak sekolah termasuk guru-guru dan pelajar supaya mengelak daripada memasuki kawasan terjejas sehingga keselamatan lokasi berkenaan dipastikan terlebih dahulu," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Sabtu. Nanta memberitahu, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui JKR akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memastikan usaha menyiasat, membaik pulih dan mengawal keselamatan dapat diselaraskan dengan sebaik dan sesegera mungkin. Menurutnya, sekolah yang terjejas membabitkan tujuh di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pudu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Perdana, Sekolah Kebangsaan (SK) Yaacob Latif, SK Salak South, SK Danau Perdana, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Imbi, SK Cochrane dan SMK (P) Methodist. Jelasnya, enam di bawah PPD Keramat iaitu SK Setapak, SK Kg Bharu, SMK Puteri Wilayah (Asrama), SMK Seri Titiwangsa, SK Kementah dan SMK Taman Melati manakala dua lagi di bawah PPD Sentul iaitu SMK Jinjang dan SK Seri Nilam. Sementara itu, Nanta memaklumkan, KKR juga menerima laporan kerosakan beberapa unit rumah di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kem Batu Kentonmen Kuala Lumpur disebabkan kejadian ribut berkenaan. "Antara lain kerosakan yang dilaporkan adalah membabitkan bumbung dan awning yang tercabut diterbangkan angin kuat. "JKR bekerjasama dengan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk melakukan pemeriksaan dan penilaian kerosakan untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.
Read more:SINARH
2023-05-20 12:34:0

Catat Ulasan

0 Ulasan