Search

header ads

[SINARH] AGI McDonald’s hargai guru luar biasa



MELAKA - McDonald's Malaysia mengambil inisiatif dengan mengiktiraf dan menghargai warga pendidik yang telah banyak menyumbang kepada pembentukan generasi madani. Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, penganjuran tahun ketujuh pada tahun ini telah memilih seramai 25 guru yang telah memaparkan komitmen dalam meningkatkan kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar. Menurutnya, hasil kolaborasi kukuh antara pihak McDonald's Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya meluaskan dan mendedahkan pelbagai kisah suka duka guru daripada beberapa negeri. "Ini terbukti apabila lebih 16,000 pencalonan telah diterima, melebihi tiga kali ganda daripada jumlah pencalonan tahun lepas. "Kisah-kisah luar biasa yang diterima menunjukkan anugerah ini mendapat perhatian dan tarikan ramai selain merupakan platform untuk berkongsi pengalaman dan kehidupan guru yang memberi impak kepada masyarakat," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Guru Inspirasi (AGI) McDonald's 2023 yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh di sini, pada Isnin. Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali. Naik taraf bilik guru Menurut Azmir, bagi menghargai jasa dan menyokong usaha KPM, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM5,000 untuk menaik taraf bilik-bilik guru di sekolah guru-guru yang terpilih menerima anugerah pada kali ini. "Hadiah ini juga sebagai tanda sokongan McDonald's kepada inisiatif KPM dalam menjaga kebajikan dan memastikan kesejahteraan guru-guru," jelasnya. Tambah beliau, sejak pertama kali dilaksanakan pada 2017, AGI McDonald's telah dianugerahkan kepada 156 guru yang menjalankan tanggungjawab melebihi tugas hakiki dalam mendidik serta memotivasi serta memberi impak kepada generasi muda negara. "Bagi merancakkan lagi sambutan Hari Guru, kita juga akan menghargai guru-guru di semua 340 restoran McDonald's seluruh negara sepanjang bulan ini," katanya lagi. Setiap pemenang menerima wang tunai sebanyak RM5,000 selain trofi dan sijil. Rasa terharu Khairul Nizam Aseh,39, suku kaum Jakun berkata, sebelum ini beliau bekerjaya dalam bidang biologi marin dengan pendapatan RM5,000 sebulan, namun meninggalkan kerjaya itu untuk memastikan anak-anak orang asli tidak keciciran dalam bidang pendidikan. Menurutnya, beliau tidak dapat melupakan satu insiden di mana seorang anak muridnya yang juga calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak hadir ke sekolah pada hari peperiksaan. Apa yang menyedihkan, murid itu memberitahu dia malu ke sekolah untuk mengambil peperiksaan kerana pakaian sekolahnya basah dan tidak mempunyai pakaian lain. "Jadi kami bawa dia ke sekolah, alhamdulillah dia dapat menduduki peperiksaan itu sehingga tamat dan kisah itu turut tular di media sosial. "Saya tekad nak bantu anak-anak orang asli supaya mereka minat untuk datang ke sekolah kerana dengan pendidikan dapat mengubah nasib mereka," katanya selepas menerima anugerah berkenaan. Khairul Nizam antara 25 guru yang terpilih menerima wang tunai berjumlah RM5,000, sijil dan trofi. Tambahnya, selama 13 tahun sebagai warga pendidik, beliau berasa terharu apabila anak murid telah mencalonkannya untuk anugerah tersebut tanpa pengetahuannya. "Saya hanya tahu tentang pencalonan itu apabila dihubungi pihak McDonald's Malaysia. Tak pernah terfikir untuk menerima anugerah ini dan saya terharu dengan cara McDonald's menghargai guru-guru," katanya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bungor, Pahang. Sementara itu, guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam, Tuan Saripah Nor Riha Tuan Jaafar, 55, tidak menyangka bekas pelajar yang dididiknya sejak 23 tahun lalu telah menghantar borang pencalonan. Menurutnya, beliau hanya berhubung kembali dengan bekas pelajarnya itu pada tahun lalu dan berbangga kerana pelajar itu telah menjadi pensyarah bahasa Korea di Universiti Sains Malaysia (USM). "Mengimbau kembali 23 tahun lalu, pelajar itu mempunyai masalah rabun mata disebabkan keturunan sehingga hampir buta. "Ketika itu saya mengajar Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Malik, Alor Setar. Melihat potensinya yang mahu berjaya, saya nekad membantunya walaupun selepas tamat waktu persekolahan. "Pelajar ini juga dari keluarga yang susah, jadi saya berusaha mencari penaja bagi membolehkan dia menjalani pembedahan mata dan membeli peralatan belajar," katanya. Tambahnya, majlis ini bukan sekadar anugerah meraikan para pendidik, malahan mampu mengeratkan hubungan guru dengan bekas-bekas pelajar melalui inisiatif McDonald's ini.
Read more:SINARH
2023-05-20 9:30:0

Catat Ulasan

0 Ulasan