Search

header ads

[SINARH] Beg tangan berjenama tiruan bernilai lebih RM800,000 dirampas



IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menggempur sebuah rumah yang dipercayai menjadi stor simpanan beg tangan dan pakaian jenama tiruan di Bandar Lahat Mines, Menglembu di sini pada Khamis. Serbuan sekitar jam 11.30 pagi itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN bersama wakil cap dagang, hasil maklumat dan risikan yang dijalankan tiga minggu lalu. Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, sebanyak 5,100 barangan melibatkan beg tangan berjenama tiruan dianggarkan bernilai RM888,000 berjaya dirampas. "Modus operandi sindiket ini akan mengiklankan produk menerusi aplikasi WeChat, Facebook dan Telegram dengan menyatakan jualan mereka merupakan produk premium dan berkualiti tinggi. "Siasatan yang dijalankan berjaya mengesan lokasi stor ini sekali gus menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40 tahun untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui pemberita di sini. Menurut beliau, sindiket ini dipercayai bergerak aktif sejak 2016 telah mengaut keuntungan berlipat kali ganda. "Rumah ini disewakan suspek untuk menjalankan perniagaan. Beg tangan ini dijual sehingga RM1,300 berbanding harga sebenar dan meraih keuntungan berlipat kali ganda sejak tujuh tahun lalu. "Berdasarkan siasatan, beg tangan dan dompet wanita dipercayai di bawa masuk sindiket ini dari luar negara. Lelaki terbabit pertama kali ditahan kerana memiliki barangan tiruan ini," katanya. Kamalludin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.
Read more:SINARH
2023-05-25 19:32:0

Catat Ulasan

0 Ulasan