Search

header ads

[SINARH] Dulu Thailand kerap tukar kerajaan, sukan tetap hebat - Pekan



BUTIRAN rumusan pencapaian terburuk kontinjen negara pada temasya Sukan SEA 2023 diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh disifatkan lebih kepada mengalih pandangan dan menuding jari kepada pihak lain atas kegagalan misi di Kemboja itu. Malah penganalisis tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli mempersoalkan kewajaran ketidakstabilan politik dalam negara diumumkan Hannah dijadikan elemen merungkai kemerosotan teruk prestasi keseluruhan kontinjen negara dalam temasya Sukan Asia Tenggara tersebut. "Biar betul? Adakah ketidakstabilan politik negara ini penyebab utama kepada pencapaian terburuk di Kemboja? Memang sejak PRU 14 kerajaan dan Menteri Belia dan Sukan bertukar beberapa kali. Tapi bajet macam biasa saja saya tengok, pernah waktu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjadi Menteri, bajet Podium dan AMD tiada dalam Belanjawan tetapi YB Ahmad Faizal mohon kembali Bajet tersebut dalam sidang khas Dewan Rakyat dan kemudiannya lulus. "Saya rasa kenyataan ini juga membuat Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan persatuan sukan kebangsaan menarik nafas lega. "Tolonglah, sukan dan politik ini sepatutnya memang tidak boleh dicampur adukkan atau dipolitikkan. Banyak negara pun amalannya sama. Sukan ini milik bersama, tak kira pihak kerajaan mahupun pembangkang. Sama-sama akan meraikan kejayaan atlet dan sama-sama bersedih dan simpati bila atlet kita tumpas," katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad. Tambah Pekan lagi, beliau tidak melihat kesimpulan daripada Hannah itu sebagai alasan kukuh dalam merumuskan pencapaian kontinjen negara khasnya dalam era moden yang berteras sains sukan. "Saya tidak melihat justifikasi ini (alasan) ini sesuatu yang kukuh, ada negara yang kerap bertukar kerajaan suatu waktu dahulu seperti Thailand tetapi sukan mereka tetap lebih hebat dari kita. "Malah ada negara seperti Iraq yang sedang bergolak hebat pada waktu itu tetapi mereka muncul juara bola sepak Piala Asia 2007 waktu itu, sukar nak melihat korelasi ini kerana prinsip sukan ini difahami oleh kebanyakan ahli sukan dan juga setiap negara," katanya. Dalam pada itu, Pekan turut menyifatkan rumusan daripada Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria lebih bersifat terbuka menerima kegagalan di Kemboja 2023 dengan kesedaran untuk melakukan transformasi terhadap sukan negara. "Saya respek dengan pengakuan Tan Sri Norza bahawa kita tidak semestinya betul dan perlu menerima pandangan orang lain. "Norza juga mengakui Malaysia juga perlu untuk merancang kembali supaya bukan sahaja mengatasi Singapura tetapi perlu sebaris dengan Vietnam dan Thailand serta Indonesia," katanya. Pada masa sama, Pekan menyarankan MSN supaya melupakan hasrat untuk mengenalpasti punca kehilangan 12 pingat emas dalam pelbagai acara yang disasarkan. Jelasnya, jika menang semua sasaran ini sememangnya sasaran selamat yang akhirnya jadi tidak selamat dan memakan diri. "Lupakanlah, setiap kali edisi Sukan SEA perkara ini tetap berlaku. Kita bukan bekerja dengan mesin, kita bekerja dengan manusia. Macam-macam perkara boleh berlaku pada ahli sukan ini sebelum dan semasa pertandingan. "Bila kalah bermakna kalahlah, mereka yang menang pun tidak melanggar peraturan temasya. Sebenarnya kita banyak sangat nak cari salah itu salah ini, akhirnya orang nampak semua itu sebagai alasan orang yang sudah kalah, lebih baik kita buka buku baharu sahaja. "Sebenarnya kita perlu mencontohi Vietnam, sebaik mereka muncul juara keseluruhan sebagai tuan rumah tahun lalu, semua atlet-atlet mereka dikekalkan, terus tanpa berehat menjalani latihan dalam dan luar negara hinggalah mereka meneruskan kecemerlangan muncul juara keseluruhan buat pertama kali di luar Vietnam. "Pada masa sama saya nak tanya, apa pula yang kita lakukan dengan segera sebaik mengetahui pencapaian buruk kita semasa Sukan SEA Vietnam 2021 tahun lalu?," katanya. Tegas beliau lagi, Malaysia sepatutnya mencontohi Vietnam yang tetap menghantar atlet terbaik tanpa mengambil kira status dan usia serta tanpa memilih kejohanan. "Tengok sahaja cara Vietnam menampilkan atlet olahraga Nguyen Thi Oanh, berusia 27 tahun yang menyinar dengan menyapu empat emas dalam masa lima hari. Begitu juga dengan Nguyen Thi Huyen berusia 30 tahun, atlet paling berjaya di sepanjang zaman untuk Vietnam apabila memenangi tiga emas dan satu perak. "Perenang muda Pham Thanh Bao, 22 tahun turut menyumbang dua emas dan dua rekod baharu Sukan SEA. Tran Hung Nguyen, 20 tahun juga cemerlang dengan tiga emas, satu perak dan satu gangsa. "Kita perlu mantapkan kembali program latihan atlet dan pasukan secara berterusan dan paling serius adalah memberikan latihan yang sistematik, menyertai kejohanan kompetitif dan sokongan diperlukan atlet dan jaga kebajikan mereka sebaik mungkin, barulah atlet akan 'perform'," katanya. Jelas Pekan, satu transformasi secara besar-besaran perlu dilakukan dalam mengembalikan semula maruah Malaysia dalam temasya sukan bermula dengan Sukan SEA Thailand 2025. "Perbetulkan kembali prinsip kita terhadap pembangunan sukan negara. Tanamkan jati diri yang tinggi dalam jiwa setiap atlet negara, tonjolkan identiti bangsa Malaysia yang hebat menerusi sukan. "Tolonglah saya minta jangan alasan demi alasan dipertahankan setiap kali kita gagal dalam misi mengembalikan maruah sukan negara dalam temasya sukan," katanya.
Read more:SINARH
2023-05-21 15:16:0

Catat Ulasan

0 Ulasan