Search

header ads

[SINARH] Empat penyokong Perak didakwa merusuh di stadium



IPOH - Tiga lelaki masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa selepas mengaku salah atas pertuduhan merusuh ketika perlawanan bola sepak Liga Super antara Perak FC dan Selangor FC, Sabtu lalu. Tertuduh, Muhammad Aiman Firdaus Badrul Hisam, 21; Mohamad Amirul Asnil Mat Pandir, 26 dan Muhammad Hayyan Sufi Mohd Sabri, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha. Mahkamah turut memerintahkan setiap tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan. Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh secara bersama telah melakukan kesalahan merusuh di Stadium Perak sekitar jam 9.17 malam, Sabtu lalu. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya. Dalam prosiding di mahkamah sama, seorang remaja lelaki bawah umur berusia 17 tahun turut mengaku bersalah bagi pertuduhan sama. Mahkamah bagaimanapun membenarkan remaja itu diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dalam kalangan ibu bapa atau penjaga. Mahkamah turut menetapkan kes disebut semula pada 28 Jun depan bagi mendapatkan laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Hadi manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gnanarajan. Sinar Harian melaporkan empat individu ditahan susulan kekecohan yang berlaku ketika perlawanan Liga Super di antara Perak FC dengan Selangor FC di Stadium Perak pada malam Sabtu. Perlawanan itu dicemari insiden Royal Rumble segelintir penyokong Bos Gaurus dengan Reds Giants ketika perlawanan separuh masa pertama. Perlawanan ini diibaratkan langit dan bumi itu berakhir dengan kemenangan bergaya 4-0 berpihak pasukan pelawat.
Read more:SINARH
2023-05-23 11:34:0

Catat Ulasan

0 Ulasan