Search

header ads

[SINARH] Geran Padanan alternatif baharu majukan sukan



PENGLIBATAN orang politik bersama Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) atau persatuan sukan negeri bagi memperoleh dana mencukupi serta menyelesaikan masalah kewangan persatuan sukan terlibat sememangnya tidak dinafikan penting dalam pembangunan sukan sejak sekian lama. Bagaimanapun kebergantungan terhadap pengaruh golongan itu dalam entiti sukan kini dapat dikurangkan dengan kewujudan Geran Padanan seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2023 sebelum ini. Itu pandangan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed yang menyifatkan inisiatif itu permulaan positif mengurangkan kebergantungan kepada pengaruh orang politik mencari dana seterusnya memberi ruang kepada lebih banyak penglibatan pelbagai pihak bersama membangunkan sukan negara. "Sejujurnya saya sambut baik dan puji sekiranya dalam kalangan ahli politik yang sanggup membantu mencari dana bagi mengerakkan pertubuhan sukan di negara ini. "Begitu pun, jika golongan ini berhasrat memperkasakan sukan negara, sebaiknya jaga pentadbiran sahaja dan jangan mencampuri urusan pemilihan atlet atau skop latihan. "Namun dengan wujudnya peruntukan dalam Geran Padanan seperti yang dinyatakan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, sudah tiba masanya untuk setiausaha agung persatuan sukan perlu bekerja lebih keras dan proaktif mencari dana. "Kini seharusnya persatuan sukan sudah boleh mengemukakan kertas kerja lengkap dan baik untuk pembangunan sukan tersebut bagi dipertimbangkan pihak kementerian bertanggungjawab. "Saya percaya dengan kertas kerja yang baik tidak akan menjadi masalah untuk permohonan geran diluluskan," katanya yang juga bekas Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Presiden Persatuan Olahraga Johor (POJ) kepada Sukan Sinar pada Selasa. Dalam pada itu, Noorul Ariffin menegaskan, pemimpin badan sukan di negara ini perlu diterajui dalam kalangan bekas atlet yang telah mengharumkan nama Malaysia. "Secara peribadi bagi saya tiba masa untuk kepimpinan NSA dan persatuan sukan negeri dipimpin bekas atlet yang berkaliber untuk memimpin kerana golongan ini lebih memahami setiap permasalahan golongan atlet. "Paling penting mereka pernah melalui pahit dan manis sebelum berjaya pada kejohanan dalam atau luar negara, selain boleh menjadi inspirasi kepada atlet muda atau pelapis. "Satu lagi dengan kemajuan bidang sukan yang semakin pesat di seluruh dunia, tiba masa untuk diberikan kepada kepimpinan muda menerajui persatuan sukan dengan idea baharu," ujarnya.
Read more:SINARH
2023-05-24 9:0:0

Catat Ulasan

0 Ulasan