Search

header ads

[SINARH] Gesa siasatan menyeluruh tragedi Everest



SHAH ALAM - Kerajaan dan penganjur perlu melakukan siasatan menyeluruh berhubung dua rakyat Malaysia yang meninggal dunia dan dilaporkan hilang di Everest. Pendaki tujuh benua dan penjelajah Grand Slam pertama negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin turut memohon supaya kerajaan dan penganjur membantu keluarga arwah dengan bantuan sewajarnya. "Saya menyeru agar Kementerian Belia dan Sukan dan penganjur wajar melakukan siasatan menyeluruh kerana sejak pendakian Everest Malaysia pada 1997 sehingga 2023, ini adalah kejadian pertama berlaku melibatkan pendaki Malaysia ke Everest. "Saya berharap arwah selamat dibawa pulang dengan sempurna," katanya dalam kenyataan pada Ahad. Pada Ahad, Kementerian Luar Negeri kini menggerakkan misi bagi membantu dua rakyat Malaysia yang meninggal dunia dan dilaporkan hilang di Everest. Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sedang menghulurkan bantuan yang sewajarnya untuk membawa turun jenazah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacob dari Gunung Everest ke hospital di Kathmandu bagi tujuan bedah siasat dan pengurusan jenazah. Pada masa sama, Wisma Putra turut mengesahkan kehilangan Muhammad Hawari Hashim, salah seorang peserta ekspedisi tersebut yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU). Sementara itu, Muhamad Muqharabbin turut mengucapkan takziah atas kematian Awang Askandar selain berdoa supaya Muhammad Hawari segera ditemui selepas dilaporkan hilang lebih 24 jam. Beliau menambah pendakian ke puncak Everest bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh didaki dengan sesuka hati. Katanya, ia memerlukan latihan intensif, persediaan rapi dan pendaki perlu didedahkan dengan pengalaman mendaki ke gunung-gunung salji serta latihan teknikal. "Walaupun kita mempunyai wang dan penaja, tidak semestinya kita boleh sampai ke Everest. Saya terpaksa berlatih lebih dua tahun di dalam dan luar negara malah ke Nepal beberapa kali sebelum mendaki Everest pada tahun 2004. "Di Nepal pula, saya perlu mengadaptasikan diri dengan gunung di sana selama dua bulan sebelum sampai ke puncak pada 16 Mei 2004 lalu," ulasnya. Mengulas lanjut, beliau berkata, ia bagi memastikan badan individu terlibat bersedia selain dapat bertahan dalam keadaan suhu sejuk yang ekstrim dan cuaca tidak menentu. "Mendaki ke puncak Everest bermula dari Camp 4 melibatkan 7,900 meter (kem terakhir) pada 2004 lalu telah mengambil masa selama 10 jam untuk sampai puncak 8848 (900 meter ketinggian) dan turun semula ke Camp 4 pula ambil masa lapan jam. "Memang kita akan mengalami kepenatan melampau atau keletihan yang teruk. "Sekiranya tidak cukup stamina, kita pasti akan menghadapi perkara sedemikian dan menyebabkan mengalami Penyakit Akut Gunung atau AMS," jelasnya.
Read more:SINARH
2023-05-21 15:40:0

Catat Ulasan

0 Ulasan