Search

header ads

[SINARH] Inflasi Malaysia meningkat kepada 3.3 peratus April 2023



KUALA LUMPUR - Inflasi Malaysia meningkat dengan kadar perlahan kepada 3.3 peratus pada April 2023 dengan mata Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan 130.0 berbanding 125.9 pada bulan yang sama 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Dalam kenyataan pada Jumaat, DOSM menjelaskan kenaikan inflasi di Malaysia kekal didorong oleh restoran dan hotel (6.6 peratus) serta makanan dan minuman bukan alkohol (6.3 peratus). "Namun begitu, peningkatan lebih perlahan bagi kumpulan pengangkutan iaitu 2.3 peratus berbanding yang dicatatkan pada Mac 2023 (2.4 peratus) sedikit sebanyak telah mengimbangi inflasi Malaysia daripada terus meningkat lebih tinggi," tambah DOSM. Jabatan itu memaklumkan kenaikan inflasi di Malaysia pada April 2023 turut didorong oleh peningkatan bagi kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.0 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.5 peratus); kesihatan (2.1 peratus) serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (1.8 peratus). Perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain serta pendidikan masing-masing merekodkan kenaikan 1.6 peratus, manakala minuman alkohol dan tembakau serta pakaian dan kasut pula masing-masing meningkat sebanyak 0.6 peratus dan 0.5 peratus, menurutnya. DOSM menjelaskan, kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol menyumbang 29.5 peratus kepada keseluruhan wajaran IHP telah merekodkan peningkatan sederhana iaitu 6.3 peratus (Mac 2023: 6.9 peratus). Daripada 230 item makanan dan minuman, 84.3 peratus telah merekodkan kenaikan harga berbanding pada April 2022, tambah jabatan itu. Menurut perangkaan, komponen makanan di rumah menyederhana kepada 5.0 peratus pada April 2023 berbanding 5.6 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya. "Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang bermula pada 15 hingga 30 April 2023 selama 16 hari sedikit sebanyak telah meredakan inflasi komponen ini daripada terus meningkat," tambahnya. Seiring dengan kenaikan sederhana komponen makan di rumah, komponen makanan di luar rumah turut mencatatkan kenaikan yang lebih rendah kepada 8.1 peratus berbanding Mac 2023 (8.6 peratus). "Menu Rahmah yang telah diperkenalkan oleh kerajaan sedikit sebanyak meredakan inflasi makanan di luar rumah daripada terus meningkat lebih tinggi," jelasnya. DOSM memaklumkan bagi inflasi di peringkat negeri, sembilan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 3.3 peratus dengan Kedah dan Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing merekodkan peningkatan paling rendah sebanyak 2.0 peratus. Walau bagaimanapun, hanya lima negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (4.1 peratus), Sarawak (3.9 peratus), Selangor (3.8 peratus), Pahang (3.5 peratus) dan Perak (3.4 peratus). DOSM menjelaskan, inflasi keseluruhan secara bulanan pada April 2023 meningkat marginal kepada 0.1 peratus pada kadar yang sama yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. "Ini disumbangkan terutama oleh pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.4 peratus), pengangkutan (0.3 peratus) serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.3 peratus)," menurutnya. Inflasi teras mengukur perubahan harga barang dan perkhidmatan yang tidak termasuk item makanan segar yang tidak menentu dari segi harga serta barang dan perkhidmatan yang tertakluk dengan kawalan harga dari kerajaan meningkat lebih perlahan kepada 3.6 peratus (Mac 2023: 3.8 peratus), tambah jabatan itu. DOSM memaklumkan kenaikan inflasi teras ini didorong terutama oleh peningkatan perlahan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang mencatatkan 7.2 peratus (Mac 2023: 7.5 peratus) serta restoran dan hotel (6.6 peratus) (Mac 2023: 7.2 peratus). - Bernama
Read more:SINARH
2023-05-26 13:6:0

Catat Ulasan

0 Ulasan