Search

header ads

[SINARH] Janggal, luar biasa UMNO minta sokong DAP - Muhyiddin



MUAR - Gesaan agar ahli UMNO menyokong DAP pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri akan datang disifatkan sebagai sesuatu yang janggal selain bertentangan dengan dasar parti. Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, terserah kepada penyokong UMNO sama ada mahu menyahut gesaan itu atau sebaliknya. "Agak luar biasa, saya pun pernah berada di dalam UMNO itu hampir 40 tahun. Ini kali pertama saya dengar pemimpin UMNO minta ahlinya sokong DAP. "Terserah kepada ahli mereka yang berpegang kepada perjuangan parti jika hendak mendengar gesaan tersebut, ia bukan parti saya lagi. Tetapi ia adalah satu arahan yang agak janggal," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong di Kompleks Sukan Pagoh di sini pada Sabtu. Hadir sama, Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong. Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menambah, menerusi kajian yang dibuat dalam pilihan raya lalu terutama ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sokongan pengundi UMNO kepada DAP tidak pernah berlaku. "Dalam kajian itu, isu perpindahan sokongan iaitu sokongan UMNO kepada DAP, DAP kepada UMNO tidak berlaku, sebaliknya yang berlaku mereka sokong PN. "Dalam aspek ideologi agak luar biasa kalau pemimpin UMNO suruh sokong DAP, sebab kita tahu apakah (sikap) DAP sebenarnya kepada orang Melayu," katanya. Dalam pada itu, tindakan yang diambil oleh Presiden UMNO dan pemimpin tertinggi parti termasuk mengadakan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan seolah-oleh memberi gambaran parti itu kini sudah sampai ke penghujung hayat. "Tindakan terkini adakan konvensyen terbesar, tutup potret wajah Presiden UMNO terdahulu, kemudian buat kenyataan yang bercanggah dengan perjuangan UMNO, saya percaya UMNO sudah sampai ke penghujung hayat. "Pada PRN di enam negeri kelak, ia akan menjadi bukti bahawa sebahagian besar orang Melayu tidak mahu menyokong perjuangan UMNO lagi," katanya. Pada Jumaat, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa pengundi UMNO di enam negeri yang akan menghadapi PRN memilih calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan. Jelasnya, tindakan itu wajar mengikut disiplin parti apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan.
Read more:SINARH
2023-05-20 14:13:0

Catat Ulasan

0 Ulasan