Search

header ads

[SINARH] Kerajaan dalam usaha peroleh Sistem UASTM - Anthony



LANGKAWI - Kerajaan dalam proses untuk memperoleh Sistem Pengurusan Trafik Pesawat Tanpa Pemandu (UASTM), kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Beliau berkata, sistem, teknologi dan operasi penerbangan tanpa pemandu telah berkembang pesat, sekali gus memacu penyertaan penerbangan baharu dan pelbagai produk serta perkhidmatan terkini. Katanya, kementerian memperaku dron sebagai penerbangan masa depan di negara ini, justeru usaha untuk menyokong pertumbuhan dinamik itu mesti terlebih dahulu berpandukan kepada keutamaan bagi memastikan keselamatan, sekuriti, kecekapan dan kemampanan operasi sistem pesawat tanpa pemandu atau UAS, yang kini semakin inovatif. "UASTM ialah sistem bersepadu yang membolehkan semua pemain dron melengkapkan setiap prosesnya daripada pendaftaran hingga pemantauan operasinya berada di hujung jari mereka, selain membenarkan pihak berkuasa mengawasi aktiviti dron, mengeluarkan kebenaran untuk operasi UAS dan pengurusan ruang udara," katanya dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak Penerbangan Langkawi di sini pada Rabu. Anthony berkata, untuk membolehkan industri dron berkembang dalam persekitaran yang kondusif dan selamat, industri itu perlu diisi dengan sejumlah besar pengendali yang cekap dengan pengetahuan UAS yang betul. "Kerajaan juga meminda peraturan untuk menyokong dan memacu pertumbuhan industri dron tanpa membahayakan elemen keselamatan," katanya. Menurutnya, visi Kementerian Pengangkutan ialah untuk menyediakan sistem pengangkutan yang selamat, cekap dan mampan di seluruh negara bagi meningkatkan kualiti hidup serta menyokong ekonomi yang berdaya saing. Sidang Kemuncak Penerbangan Langkawi merupakan antara program Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA '23). Dengan tema "Flying into The Future: A Road Map with Sustainable Aviation and Drones", sidang kemuncak itu bertujuan menyediakan platform bagi pemimpin industri, pakar dan peminat untuk bersama-sama meneroka penyelesaian inovatif yang akan membentuk masa depan penerbangan dan teknologi dron, selain memastikan kemampanan kekal sebagai teras. - Bernama
Read more:SINARH
2023-05-24 12:44:0

Catat Ulasan

0 Ulasan