Search

header ads

[SINARH] Kerajaan Perpaduan mampu urus Kedah lebih baik berbanding PN



ALOR SETAR - Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Kedah senada bahawa pentadbiran kerajaan negeri perlu sealiran dengan pentadbiran kerajaan Persekutuan. Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kebersamaan pentadbiran itu mampu memberi manfaat kepada rakyat Kedah. Beliau menyuarakan kebimbangan rakyat Kedah kurang mendapat manfaat sekiranya kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan tidak seiring, malah tidak sehaluan. "Jikalau kita hari-hari berkelahi dengan kerajaan Persekutuan, hari-hari mencemuh kerajaan persekutuan, kemudian kita bawa surat kita nak minta (apa-apa). "Sebagai contohnya tuan-tuan, jiran bergaduh pada tuan-tuan, (kemudian) minta tolong. Nak tolong (tak)," katanya. Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Konvensyen Negeri Majlis Pimpinan Perpaduan Kedah 2023 di Ampang Business Centre (ABC), Ampang Jajar, di sini, pada Ahad. Bagaimanapun, Mahdzir berkata, beliau yakin usaha menjajarkan pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan dapat direalisasikan melalui kempen 'kalih bagi sama' (tukar bagi sama). Beliau berpandangan, pentadbiran kerajaan negeri yang sealiran dengan kerajaan persekutuan adalah pilihan terbaik untuk rakyat. "Kita hendak (kerajaan negeri) sama dengan kerajaan Persekutuan, yang terbaik kita jadi kerajaan sama (iaitu) kerajaan perpaduan di Putrajaya," katanya. Tambah beliau, gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan juga mampu menguruskan Kedah lebih baik daripada Perikatan Nasional (PN). "Jikalau kita ada semangat yang sama, kita boleh ambil Kedah daripada PN, (malah mampu) menguruskan (negeri) sebenarnya lebih baik daripada apa yang PN ada," katanya. Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan negeri harus bekerjasama secara terbaik dengan kerajaan Persekutuan bagi membolehkan pelbagai pembangunan dapat dilaksanakan. Beliau berkata, misalnya, Kedah merupakan jelapang padi dan seharusnya dijadikan jelapang makanan utama dalam memastikan keterjaminan makanan untuk rakyat negara Malaysia. Dalam perkembangan lain, Mahfuz berkata, Konvensyen Negeri Majlis Pimpinan Perpaduan Kedah 2023 yang menghimpunkan sembilan gabungan parti di negeri ini merupakan sejarah baharu bagi Kedah dan Malaysia.
Read more:SINARH
2023-05-21 14:18:0

Catat Ulasan

0 Ulasan