Search

header ads

[SINARH] LIMA'23: MOT kendali pemeteraian MoU, kontrak RM7.5 bilion



KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan (MOT) menjadi hos dengan mengendalikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan kontrak komersial bernilai RM 7.5 bilion pada acara Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA'23) di sini. Dalam kenyataannya, kementerian itu berkata, acara berprestij itu turut menyaksikan pertukaran 36 dokumen membabitkan pelbagai pihak berkaitan. "Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut mencemar duli menyaksikan pemeteraian tiga perjanjian antara SKS Airways Sdn Bhd, Azorra Aviation Holdings dan Embraer Asia Pacific Pte Ltd," katanya. Perjanjian terbabit membabitkan nilai keseluruhan sebanyak AS$488 juta (AS$1=RM4.60). Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan perjanjian perkhidmatan udara (ASA) antara kerajaan Malaysia dan Brunei. Dokumen itu menggantikan ASA yang ditandatangani pada 14 Februari,1992, bagi meningkatkan lagi kesalinghubungan udara selain menyediakan persekitaran lebih kondusif bagi operasi syarikat penerbangan. "Perdana Menteri turut hadir pada majlis pertukaran surat perjanjian (LOA) antara Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi dan CCC Dredging Southeast Asia Sdn Bhd (CCC)," katanya. Menurut MOT, MYAirline Sdn Bhd pula membawa masuk pelaburan terbesar dengan nilai gabungan kira-kira RM 2.7 bilion yang melibatkan aspek memperluas perkhidmatan pengurusan teknikal inventori. Dalam pada itu, Tropical Charters Sdn Bhd memeterai dua perjanjian dengan XOne Superyachts Group dan Gottsegen Yachts. Tropical Charters Sdn Bhd turut melabur dalam masa depan pelancongan mampan dengan kontrak bernilai 6 juta Euro bagi membina pengangkutan katamaran Gottsegen 62 tenaga baharu menerusi Nova Nautical Sdn Bhd untuk mengurangkan impak alam sekitar terhadap pelancongan di taman Langkawi Unesco Global Geopark. Selain itu, pemeteraian perwakilan serta pengembangan luar negara bagi pejabat Pendaftar Kapal Pesiar Antarabangsa Langkawi berkaitan kerjasama serantau Turkiye dan Kesatuan Eropah, akan menyumbang hasil AS$250 juta kepada ekonomi Malaysia dalam tempoh tiga hingga lima tahun, kata kenyataan itu. Kementerian Pengangkutan turut menandatangani tiga MoU membabitkan Biro Siasatan Kemalangan Udara dengan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang Malaysia Airports. MoU itu bertujuan bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dalam meningkatkan kerjasama ketika berlakunya kemalangan pesawat dan siasatan insiden, katanya. Turut dimeterai adalah MoU masing-masing membabitkan Malaysia UAV Alliance dan Datasonic Group Bhd serta Selangor Aviation Technology and Innovation Sdn Bhd; enam MoU antara Universiti Malaysia Terengganu dan MSET Inflatable Composit Corporation; Agensi Angkasa Malaysia, Kumpulan Industri-Kerajaan Bagi teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT), Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd, PKT Logistics Group Sdn Bhd dan Holistics Lab Sdn Bhd serta memorandum kerjasama antara Pos Logistics Spirit Aerosystems Malaysia. Perjanjian lain berkaitan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) antara Malaysia Aviation Group dengan Petronas Dagangan Bhd dan dua MoU antara Malaysia Airlines Bhd Engineering Services dan Jabatan Pembangunan Kemahiran serta Spirit Aerosystems. - Bernama
Read more:SINARH
2023-05-25 19:31:0

Catat Ulasan

0 Ulasan