Search

header ads

[SINARH] Mahkamah akan dengar permohonan bekas polis pikat isteri orang



PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat, menetapkan bakal mendengar peruntukkan Kanun Keseksaan yang menjadikan kesalahan bagi seorang lelaki, memikat wanita berstatus isteri orang untuk persetubuhan, bercanggah dengan perlembagaan atau sebaliknya. Ia selepas panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Kamaludin Said membenarkan permohonan seorang bekas anggota polis untuk mengemukakan rayuan dengan mengenal pasti tiga persoalan undang-undang untuk ditentukan mahkamah rayuan. Peguam, P Purshotaman berkata, mahkamah perlu menentukan sama undang-undang digubal sebelum Merdeka yang diperkenalkan oleh British, iaitu Seksyen 498 Kanun Keseksaan, melanggar hak asasi lelaki itu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 498 kanun itu merangkumi kesalahan memikat seseorang perempuan yang diketahui atau dipercayai sebagai isteri orang lain, dengan niat melakukan persetubuhan yang ditegah. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Permohonan lelaki berusia 41 tahun itu bagi mendapatkan kebenaran rayuan, tidak mendapat bantahan daripada pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nahra Dollah. Mahkamah kemudiannya memerintahkan kedua-dua pihak untuk bersiap sedia dengan berhujah menyokong dan menentang. "Jangan mempersendakan undang-undang," katanya yang turut bersidang bersama Hakim Che Ruzima Ghazali dan Azman Abdullah. Pada April lalu, seorang bekas anggota polis selaku perayu mengemukakan tiga persoalan untuk mendapatkan kebenaran merayu sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya. Yang pertama, mengenai sama ada Seksyen 498 melanggar Perkara 5(1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan telah mendiskriminasi lelaki. Kedua, melibatkan pertimbangan sama ada mahkamah mempunyai kuasa bawah Perkara 162(6) dan (7) Perlembagaan untuk memansuhkan Seksyen 498 itu. Persoalan ketiga pula, mengenai pengubahsuaian dan tafsiran yang boleh dibuat oleh mahkamah untuk memastikan Seksyen 498 itu tidak melanggar Perkara 5(1) dan 8(1). Perkara 5(1) menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang. Sementara itu, menurut Perkara 8(1), semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan sama rata di sisi undang-undang. Bekas anggota polis itu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada 3 November 2019 atas tuduhan melakukan kesalahan itu di Kuala Terengganu antara 25 November 2016 dan 17 Jun 2018. Pada 6 Mac tahun lepas, majistret menjatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,500 selepas tertuduh didapati bersalah. Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman penjara sementara menunggu rayuan dan dia telah membayar denda itu. Pada 23 Februari lalu, Mahkamah Tinggi menolak rayuannya terhadap sabitan itu, tetapi mengubah hukuman dengan menaikkan denda kepada RM6,000 dan mengetepikan hukuman penjara.
Read more:SINARH
2023-05-19 20:8:0

Catat Ulasan

0 Ulasan