Search

header ads

[SINARH] Malaysia ditahap 'trafik pandemik'



KUALA LUMPUR - Malaysia sudah berada pada tahap 'trafik pandemik' berdasarkan rekod kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya yang meningkat. Pada 2022, Malaysia mencatatkan 545,630 kemalangan, atau satu kemalangan setiap minit. Berdasarkan rekod juga, sejumlah 6,067 mangsa maut dalam kemalangan jalan raya atau satu kematian setiap 90 minit. Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Kulanthayan K.C. Mani berkata, pertambahan jumlah kenderaan persendirian di jalan raya antara faktor yang memberi risiko peningkatan jumlah kemalangan jalan raya yang turut menyumbang kepada angka kematian. Justeru menurutnya, situasi tersebut perlu ditangani sebaiknya dengan memastikan penggunaan pengangkutan awam terus diperkasakan. "Kita harus kurangkan dua angka tersebut (jumlah kemalangan dan kematian) dan melihatnya sebagai trafik pandemik. "Ketika ini terdapat kira-kira 31 juta kenderaan yang berdaftar berbanding populasi penduduk seramai 32 juta orang. "Jika mahu menangani angka kemalangan dan kecederaan (seterusnya kematian) akibat kemalangan jalan raya, maka bilangan kenderaan persendirian perlu dikurangkan dan salah satu kaedah adalah bergerak kepada pengangkutan awam,"katanya sempena Program Minggu Keselamatan Jalan Raya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-7 di sini pada Selasa. Mengulas lanjut, Kulanthayan berkata, penggunaan pengangkutan awam dan pengurangan kelajuan kenderaan merupakan elemen penting yang perlu diberi penekanan. Kerana itu ujarnya, masyarakat perlu terus membudayakan pengangkutan awam termasuk memberi pendedahan kepada kanak-kanak selari dengan kemudahan yang disediakan kerajaan. "Data di mana-mana negara pun, apabila aktiviti pengangkutan awam tinggi, kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya di negara tersebut adalah rendah,"katanya. Sementara itu, Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan dan Pembangunan Lestari Kumpulan Prasarana, Idzqandar Abu Bakar berkata, Prasarana komited dalam memainkan peranan dengan menggalakkan serta memperkasa pengunaan pengangkutan awam melalui inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan. "Antara inisiatif yang dilaksana Prasarana termasuk kolaborasi dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam mewujudkan laluan khas bas bagi menambahbaik kebolehpercayaan perkhidmatan, pas perjalanan My50 untuk rakyat Malaysia, dan kerjasama strategik dengan Kumpool seta penyedia-penyedia perkhidmatan e-hailing yang lain,"katanya. Program Minggu Keselamatan Jalan Raya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-7 yang dijalankan setiap dua tahun bertujuan memberi kesedaran umum tentang kaedah untuk mengatasi kemalangan dan kematian jalan raya yang tinggi di peringkat global. Bertemakan 'Rethink Mobility, program pada tahun ini menekankan penggunaan pengangkutan awam selain berbasikal dan berjalan kaki sebagai kaedah perjalanan alternatif bagi membantu mengurangkan kemalangan di jalanraya.
Read more:SINARH
2023-05-23 14:22:0

Catat Ulasan

0 Ulasan