Search

header ads

[SINARH] MARDI temui varieti baharu periuk kera



SERDANG - Kumpulan saintis Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menemui satu varieti baharu periuk kera atau nepenthes rafflesiana di Taman Negeri Rompin, Pahang dan Setiu Wetlands, Terengganu kira-kira dua bulan lepas. Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, varieti terbaharu di Malaysia dan dunia itu, yang mempunyai bentuk seakan-akan telinga serta berwarna hijau kekuningan hingga hijau kemerahan, manakala periuk atasnya mempunyai bentuk silinder lebih kecil, dinamakan zabawiana. Beliau berkata, varieti terbaharu itu belum berdaftar atau diterbitkan dalam mana-mana dokumentasi, jurnal atau laporan yang telah ditentusahkan oleh pakar botani Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad. Mohamad Zabawi dalam sidang media selepas Sambutan Hari Biodiversiti Sedunia Peringkat Mardi di sini pada Rabu, berkata, varieti baharu itu mampu tumbuh subur di kawasan tanah rendah, tahan lasak dan mudah dibiakkan menggunakan keratan batang serta berpotensi dikomersialkan sebagai tanaman hiasan. "MARDI akan menjalankan penyelidikan lanjut mengenai enzim yang terdapat di bahagian bawah struktur periuk dan enzim berkenaan khusus untuk mencerna makanan atau serangga yang masuk ke dalam periuk itu. "Mungkin kita boleh kaji potensi kegunaan enzim periuk kera untuk tujuan perubatan dan pertanian," katanya. Menyatakan di Malaysia setakat ini terdapat 14 spesies periuk kera, beliau berkata periuk kera atau nama saintifiknya nepenthes ialah antara tumbuhan karnivor di Malaysia dan menjadi khazanah negara yang unik serta perlu dipelihara. Pada majlis tersebut, Mohamad Zabawi mengumumkan MARDI memperoleh tiga pingat emas dan satu perak dalam pertandingan di Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2023 pada Mac lepas, serta membawa pulang Anugerah Khas oleh Chinese Innovation and Invention Society, Taiwan menerusi inovasi Ayam Saga dan Formulasi Makanan Ayam Menggunakan Bahan Asas Tempatan. MARDI turut membawa pulang tujuh pingat emas dan tiga perak dalam pertandingan Pameran Penciptaan, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2023 yang diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) bulan lepas. - Bernama
Read more:SINARH
2023-05-25 7:52:0

Catat Ulasan

0 Ulasan