Search

header ads

[SINARH] Maritim tahan tiga bot, 41 nelayan asing Vietnam



KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Terengganu berjaya menahan tiga bot nelayan asing Vietnam dalam masa tidak sampai satu jam ketika rondaan Op Kuda Laut dan Op Naga Barat pada Jumaat. Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, tiga bot itu telah ditahan pasukan Maritim pada kedudukan kira-kira 123 batu nautika dari Kuala Terengganu selepas dikejar kapal KM Redang selama 30 minit. Menurutnya, bot nelayan pertama dengan nombor pendaftaran asing ditahan sekitar jam 10 pagi bersama 15 kru termasuk tekong manakala bot kedua ditahan 10 minit kemudiannya bersama 14 kru dan tekong. "Bot ketiga dipercayai bot nelayan asing tanpa permit yang dinaiki 12 kru bersama tekong pula ditahan pada jam 10.30 pagi. "Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga bot yang dikendalikan oleh 41 kru termasuk tekong Vietnam berusia antara 21 hingga 44 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri sah. "Tekong juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran sah dan disyaki telah melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara," katanya dalam sidang media di Pejabat Maritim Terengganu pada Isnin. Rashidilhadi berkata, semua kru yang ditahan di bawa ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963. Katanya, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM4.5 juta melibatkan bot, peralatan menangkap ikan, bekalan diesel kira-kira 1,500 liter dan hasil tangkapan ikan campur seberat 100 kilogram. "Bot-bot ini dipercayai baru transit ke negara jiran namun kita tidak menolak kemungkinan mereka turut menangkap ikan ketika transit selain menggunakan pengenalan bot palsu untuk mengaburi pihak berkuasa. "Ini merupakan kes tangkapan bot nelayan asing ke tujuh pada tahun ini di Terengganu dan Maritim Malaysia akan terus melakukan rondaan bagi mengekang sebarang pencerobohan dalam perairan negara," katanya.
Read more:SINARH
2023-05-22 11:8:0

Catat Ulasan

0 Ulasan