Search

header ads

[SINARH] 'Menang dulu PRN Kedah, baru fikir siapa MB'- Ahmad Zahid



ALOR SETAR - Pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) harus mencari formula berkesan untuk menawan negeri-negeri bawah Perikatan Nasional (PN) khususnya Kedah berdasarkan pengalaman dan kepakaran masing-masing. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap parti gabungan harus fokus memenangkan parti masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum memikirkan 'poster boy' di negeri masing-masing. Menurutnya, untuk mencapai sasaran itu, setiap parti hendaklah ketepikan perbalahan lalu dan mencari titik persamaan untuk memastikan kemenangan. "Buktikan komitmen masing-masing, lupakan soal poster boy, fikirkan untuk menang dahulu. Kalau di Kedah dapatkan 19 kerusi dahulu, kalau dapat 21 lebih baik, kalau 26 lagi terbaik. "Apabila sudah menang baru fikir soal poster boy, siapa akan jadi menteri besar, sebab itu bukan hak kita untuk tentukan, itu hak Sultan," katanya ketika merasmikan Konvensyen Negeri Majlis Pimpinan Perpaduan Kedah pada Ahad. Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, kedua-dua gabungan itu juga perlu berhenti bernostalgia dengan mencari titik kebersamaan untuk mengukuhkan parti ketika berdepan PRN kelak. "Dulu lawan tetap lawan, sekarang lawan jadi kawan. Cukuplah kita bernostalgia dan berada di titik perbezaan, sekarang kita perlu cari titik persamaan. Kenapa parti Islam berkawan dengan DAP, musuh UMNO (BN)? Itu cerita dahulu. "Kalau dahulu UMNO boleh bersama MIC, MCA dan Gerakan, itu hakikat parti itu bukan sahaja mewakili kaum tertentu. Seperti DAP ada ahli daripada orang Melayu. Ini politik baharu, kita terima sahabat kita dengan semangat 'keMalaysiaan'," ujarnya lagi. Menurutnya, BN memberi jaminan akan terus kekal bersama PH dalam penyatuan Kerajaan Perpaduan berbanding gabungan lain yang kini dilihat 'bercerai-berai'. "Dulu ada parti pak lebai pun berkawan dengan DAP, kahwin kejap lepas tu cerai dan kahwin lain pula. Kami bukan kahwin mutaah, Insya-ALLAH saya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus kekalkan penyatuan ini," tegasnya. Ahmad Zahid berkata, untuk kembali menawan pengundi, semua calon gabungan hendaklah bekerja keras di semua peringkat termasuk kalangan ahli mahupun bukan ahli. "Ini berkaitan semangat bersama iaitu bagaimana kita mahu menyantuni rakyat, pengundi walaupun bukan ahli parti kita," katanya. Bagaimanapun Ahmad Zahid turut melahirkan kebimbangan mengenai keserasian di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan meminta setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) menjalin kerjasama erat bagi memantapkan jentera antara parti. "Kita mahu mandat yang mutlak daripada rakyat untuk kita membentuk kerajaan baharu di Kedah. Di Kedah dan Terengganu adalah kejap mereka menang, kejap kita menang, kejap mereka menang balik, dan kita mahu menang balik kali ini. "PRN kali ini adalah peluang terbaik untuk rampas semula, peluang ini tidak akan datang lagi. Carilah kemenangan itu kerana gelombang itu ada pada kita," ujarnya. Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Kedah memerlukan Menteri Besar berpengalaman dan serius menangani permasalahan rakyat berbanding dikenali sebagai 'juara sandiwara'. "Jangan politikkan masalah rakyat, selesaikan masalah rakyat. Berikan komitmen bukan hanya retorik. Bukan hanya pandai buat lawak jenaka, jadi penglipur lara. Kedah perlukan pemimpin yang kuat kerja bukan pandai bercakap sahaja," katanya.
Read more:SINARH
2023-05-21 14:53:0

Catat Ulasan

0 Ulasan