Search

header ads

[SINARH] Pearly-Thinaah tempuh rali terpanjang di dunia, 211 pukulan



JIKA ada catatan secara rasmi daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), jumlah 211 pukulan yang terhasil ketika beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah berdepan gandingan Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto dalam aksi pusingan kedua Masters Malaysia 2023 pada Khamis boleh dianggap antara rali terpanjang di dunia. Dalam aksi penuh dramatik yang memakan masa selama satu jam 29 minit di Axiata Arena, Bukit Jalil itu, Pearly-Thinaah ketika itu sedang mendahului lawan mereka pada kedudukan 16-14 di set penentuan. Kedua-dua gandingan berkenaan saling berkejaran memburu mata penting sehingga penonton yang hadir memenuhi segenap ruang di Axiata Arena 'terhibur' dengan aksi mereka. Dalam usaha menoktahkan kemenangan pada penghujung perlawanan itu, Pearly-Thinaah tampak lebih 'gagah' apabila berjaya menyambar 'satu mata keramat' selepas 211 pukulan terhasil dalam masa tiga minit 35 saat. Sebaik bulu tangkis jatuh ke gelanggang, Pearly dilihat terbaring akibat keletihan manakala Thinaah pula membaling raketnya ke udara bagi meraikan kejayaan mereka mengutip mata penting itu. Rekod itu secara tidak rasmi memadam rali terpanjang seperti pernah dilaporkan lawan sesawang DNA India ketika aksi antara beregu wanita Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee Yu Rim dan Du Yue-Li Wei Mei padaTerbuka Korea 2022 iaitu sebanyak 195 pukulan. Sebelum itu, rali terpanjang berlaku ketika aksi antara beregu wanita Jepun, Naoko Fukuman-Kurumi Yonao dan Poon Lok Yan-Tse Ying Suet dari Taiwan pada Terbuka Denmark 2015 apabila 256 pukulan terhasil dalam masa empat minit 32 saat. Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan keenam Masters Malaysia kali ini dijadualkan berdepan satu lagi pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dalam aksi suku akhir petang ini. Ia merupakan pertemuan keenam buat kedua-dua beregu itu dengan rekod kemenangan memihak kepada Fukushima-Hirota 3-2. Kali terakhir mereka bertemu adalah dalam aksi separuh akhir Masters Indonesia 2023 pada Januari lalu apabila Fukushima-Hirota meraih kemenangan 21-14, 21-19.
Read more:SINARH
2023-05-26 12:45:0

Catat Ulasan

0 Ulasan