Search

header ads

[SINARH] Pembahagian kerusi UMNO-PH Pulau Pinang belum dimuktamadkan



GEORGETOWN - Perbincangan mengenai pembahagian kerusi antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang belum dimuktamadkan walaupun perjumpaan kedua telah diadakan. Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, perjumpaan kedua di Pejabat PH Pulau Pinang itu diadakan pada 20 Mei lalu. "Kita sudah buat perjumpaan kali kedua iaitu pada 20 Mei lalu dan perbincangan diadakan selama lebih kurang dua jam. Perbincangan mengenai pembahagian kerusi. "Bagaimanapun belum ada keputusan muktamad, ada beberapa perkara lagi antaranya isu pertindihan kerusi," katanya ketika dihubungi pada Isnin. Kata beliau, perjumpaan ketiga akan diadakan dan dijangka pada akhir bulan ini. "Memang akan ada ketiga (perjumpaan) sebab ada beberapa perkara lagi yang belum selesai. "Perjumpaan ketiga itu mungkin akan diadakan penghujung bulan ini atau awal bulan depan," kata beliau lagi. Sebelum ini, PH dan UMNO Pulau Pinang telah mengadakan mesyuarat untuk berbincang mengenai pengagihan kerusi dan isu-isu berkaitan pilihan raya negeri (PRN). Bagaimanapun, tiada keputusan muktamad telah diperolehi dalam mesyuarat berkenaan. PH dan UMNO Pulau Pinang sebelum ini juga mencapai persetujuan untuk tidak bertanding sesama sendiri pada PRN akan datang. Ketetapan itu dicapai dalam pertemuan rasmi kali pertama yang diadakan antara dua gabungan parti itu di negeri ini pada 2 May lalu. Tiga minggu lalu, Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengesahkan BN akan diberi peluang untuk mempertahankan dua kerusi penyandangnya di Pulau Pinang pada PRN ini. Kata beliau, keputusan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat yang diadakan pada Rabu dua minggu lalu memutuskan bahawa semua kerusi akan kembali kepada parti penyandang masing-masing. Ketua Menteri Pulau Pinang itu menambah, berdasarkan prinsip yang dipersetujui iaitu semua kerusi akan kembali kepada parti penyandang, PH tidak akan meminta kerusi-kerusi berkenaan daripada UMNO atau BN. Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri dan pada Pilihan Raya Umum 2018, PH telah memenangi 37 kerusi, ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih menjadi sebahagian daripada PH. BN mempunyai dua kerusi manakala Pas memenangi satu kerusi iaitu Penaga. Selepas Bersatu keluar daripada gabungan PH dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR dipecat daripada parti dan kemudiannya menyertai PPBM, empat kerusi itu, Seberang Jaya, Sungai Acheh, Teluk Bahang dan Bertam jatuh di bawah Perikatan Nasional (PN). Bagaimanapun, keempat-empat mereka telah diusir daripada Dewan Undangan Negeri pada Mac lalu selepas Dewan meluluskan usul untuk memaksa mereka mengosongkan kerusi mengikut undang-undang anti lompat parti.
Read more:SINARH
2023-05-22 12:16:0

Catat Ulasan

0 Ulasan