Search

header ads

[SINARH] Percubaan lemah jadikan Pas kambing hitam - Takiyuddin



SHAH ALAM - Pas mendakwa kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy merupakan satu percubaan lemah menjadikan parti itu sebagai kambing hitam atas kegagalan kerajaan sedia ada. Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan Ramasamy bertajuk 'Ramasamy: K'jaan perlu strategi lain bagi tangani Pas' seperti disiarkan baru-baru ini. Menurutnya, kenyataan tersebut dilihat agak melucukan, dangkal malah cacat dalam banyak segi. "Selain memperakui kegagalan berterusan Putrajaya dalam memenangi kepercayaan rakyat sejak membentuk kerajaan pada tahun lepas, ia juga merupakan satu percubaan lemah untuk menjadikan Pas sebagai kambing hitam atas kegagalan itu. "Tindak-tanduk, kenyataan dan dasar kerajaan yang caca-merba, bercelaru, saling bercanggahan selain kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) menunaikan janji-janji yang pernah dibuat sebelum ini adalah punca utama kepada kemerosotan pengaruh dan imejnya di mata rakyat. "Ia tidak sekali-kali mempunyai sebarang kaitan dengan Pas atau kecenderungan orang Melayu menyokong Pas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. Pada Sabtu, Ramasamy menyatakan kerajaan perlu menggunakan strategi lain untuk mencabar pendekatan agama PAS yang memecahbelahkan rakyat. Dakwa Ramasamy, pendekatan Pas yang memecahbelahkan adalah satu kutukan kepada keharmonian negara dan perpaduan negara. Sementara itu, Takiyuddin berkata, Ramasamy perlu bercakap berterus terang kepada kerajaan supaya memperbaiki diri dengan dasar dan sikap lebih layak bagi sebuah kerajaan yang dikatakan berwibawa daripada menjadikan Pas kambing hitam atau kesedaran agama dalam kalangan orang Melayu sebagai musuh perpaduan. Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai sebuah parti yang terlibat dalam politik negara sejak sebelum Merdeka lagi, pihaknya amat maklum dan insaf tentang kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini yang berbilang kaum dan agama. Menurutnya, sejarah membuktikan ketika negara terjerumus dalam konflik kaum yang paling buruk sebelum ini, negeri-negeri yang merupakan kubu kuat Pas terus aman tenteram dari segi perpaduan dan keselamatan antara kaum. "Namun perkara yang sama tidak boleh dikatakan benar bagi negeri-negeri yang kini dianggap sebagai kubu kerajaan. Untuk makluman Ramasamy, hal keadaan ini berlaku bukan sahaja disebabkan oleh ajaran Islam yang sentiasa terbuka kepada kepelbagaian sebagai tanda kebesaran dan keadilan Tuhan. "Tetapi juga merupakan manifestasi budaya orang Melayu yang sederhana dan sentiasa bertolak-ansur terhadap semua pihak.termasuk mereka yang berlainan kaum atau agama," jelasnya. Takiyuddin menambah kehidupan masyarakat berbilang kaum yang aman di Kelantan, Terengganu dan Kedah adalah bukti hidup dan kekal akan hakikat tersebut. Dalam pada itu, beliau berkata, kenyataan Ramasamy yang seolah-olah menisbahkan kesedaran beragama orang Melayu sebagai halangan kepada perpaduan masyarakat bukan sahaja cacat dan cela malah berlawanan dengan realiti yang wujud dan diketahui umum. "Kesedaran dan amalan beragamalah yang sentiasa menjadi tunjang dan teras kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup bermasyarakat bukan sebaliknya seperti yang cuba beliau isyaratkan," ulasnya.
Read more:SINARH
2023-05-22 10:10:0

Catat Ulasan

0 Ulasan