Search

header ads

[SINARH] 'Saya tahu salah, tapi dah tabiat'



SEREMBAN - "Saya tahu ia salah, tapi dah jadi satu tabiat". Itu reaksi seorang perokok yang dicekup Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan(JKNS) selepas didapati merokok di premis makanan dalam operasi bersepadu dilakukan bermula jam 2 petang hingga 11.30 malam pada Sabtu. Menurutnya, itu merupakan kali kedua dia dikenakan kompaun selepas kali pertama tujuh tahun lalu ketika berada di stesen bas Terminal 1 di Seremban. "Waktu itu saya dikompaun RM250. Saya bukannya lupa peraturan itu, tapi itulah, sikap manusia. "Nasib saya kena kompaun kali kedua. Jadi saya nasihatkan kepada semua perokok, janganlah kita merokok di tempat awam," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu. Seorang pekerja restoran pula berkata, bukan mudah untuk meminta pelanggan yang didapati merokok untuk merokok di luar premis. Katanya, kebanyakan pelanggan patuh dengan teguran tetapi ada juga yang tidak mengendahkannya malah ada yang kurang senang telah memarahinya. "Kita bukannya tak tegur, tapi kadang-kadang kita pula kena marah sedangkan kita hanya berniaga sahaja," katanya. Sementara itu, Pengarah JKNS, Datuk Dr Harlina Abdul Rashid berkata, sebanyak 96 notis kesalahan di bawah Seksyen 32B telah dikeluarkan melibatkan kesalahan di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004. "Daripada keseluruhan notis, tujuh notis dikeluarkan di kawasan hospital dan klinik, 29 notis di premis-premis makanan, 13 notis di kenderaan atau hentian pengangkutan awam dan 31 notis di kompleks beli-belah. "Bagi kesalahan peraturan 12 yang melibatkan tuan punya premis pula, dua notis kesalahan dikeluarkan iaitu Peraturan 12 (1) (a) iaitu gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan tiga notis kesalahan mengikut Peraturan 12 (1) (b) kerana tuan punya premis gagal memastikan tiada orang merokok di premis masing-masing," katanya. Tambahnya, dua notis dikeluarkan di bawah Peraturan 14(1) iaitu kesalahan tiada tanda larangan bagi orang belum dewasa manakala sembilan notis di bawah Peraturan 13(1) iaitu kesalahan orang belum dewasa merokok. Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia mengeluarkan larangan merokok bukannya bertujuan menghukum golongan perokok tetapi ia dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat merokok.
Read more:SINARH
2023-05-21 11:36:0

Catat Ulasan

0 Ulasan