Search

header ads

[SINARH] Sindiket edar ganja didalangi tiga individu tumpas



TAIPING - [DIKEMAS KINI] Sindiket pengedaran dadah jenis ganja yang didalangi tiga individu termasuk seorang wanita sejak Jun tahun lalu tumpas dalam serbuan di Kampung Paya, Kamunting di sini pada Rabu. Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman itu berjaya menemukan 48.4 kilogram ketulan mampat ganja bernilai RM153,260. "Dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 35 hingga 39 tahun yang disyaki aktif mengedar dadah di negeri ini ditahan dalam beberapa siri serbuan yang dijalankan. "Tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 diambil dengan menyita tiga kenderaan dan seutas rantai leher bernilai RM67,670," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat. Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. "Dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan dan boleh dibekalkan kepada lebih 15,700 penagih dadah. "Ketiga-tiga suspek direman selama enam hari sehingga Selasa ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. 312 penagih ditahan sepanjang seminggu Ops Tapis Sementara itu di KOTA BHARU, seramai 312 penagih ditahan Polis Kelantan sepanjang Ops Tapis selama seminggu di seluruh negeri bermula 12 Mei. Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, daripada jumlah tersebut 303 tangkapan melibatkan lelaki manakala sembilan wanita. "Kesemua mereka berumur lingkungan 14 hingga 68 tahun dan ditangkap atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun (AR) 1952. "Hasil pemeriksaan yang dijalankan, didapati seramai 21 penagih tegar atau berulang dicekup dalam operasi tersebut. Pada masa sama, kesemua mereka dituduh di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. Beliau memberitahu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM297,776.10 dalam operasi tersebut. Ujarnya, sebanyak 27,748 biji pil yaba, air ketum (426.1 liter), syabu (24.68 gram), heroin (23.45 gram) dan sebagainya telah dirampas. Muhamad Zaki berkata, jumlah dadah yang dirampas ini dianggarkan boleh digunakan untuk seramai 28,966 penagih dadah. Tambah beliau, tindakan juga diambil bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988. Harta iaitu wang tunai, wang dalam akaun dan kenderaan bernilai RM83,164.46 telah disita. "Kejayaan ini adalah hasil tindakan berterusan melibatkan semua pihak iaitu Pasukan Gerak Am (PGA), Pasukan Marin dan semua unit risikan. "Polis Kelantan khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus berusaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negeri ini," katanya. Menurut beliau, masyarakat boleh menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka melalui Hotline JSJN ditalian 012-2087222.
Read more:SINARH
2023-05-19 12:36:0

Catat Ulasan

0 Ulasan