Search

header ads

[SINARH] SOP baharu sewaan Istana Budaya berjaya atasi hutang tertunggak



KUALA LUMPUR - Langkah Istana Budaya melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) baharu, berhubung proses dan tatacara penyewaan penuh pentas utamanya Panggung Sari bermula tahun lepas, berjaya mengatasi masalah hutang tertunggak yang dihadapi agensi itu sejak 2010. Ketua Pengarahnya, Zubaidah Mukhtar berkata, antara SOP yang ditetapkan ialah setiap syarikat produksi perlu membuat pembayaran penuh sebelum membuat persembahan atau pementasan, selain perlu menanggung pembayaran elaun lebih masa petugas Istana Budaya yang bekerja untuk syarikat produksi. "Bagi mengelakkan hutang bertambah, kita (Istana Budaya) perlu bertegas dengan semua pihak. Kita tidak mahu kejadian sama berulang lagi di kemudian hari. "Alhamdulillah, sejak kita melaksanakan peraturan itu, tidak ada lagi isu ABT (akaun belum terima) dari segi sewaan premis pada tahun lepas," katanya kepada Bernama, baru-baru ini. Zubaidah berkata, Istana Budaya, pada masa yang sama masih mengekalkan harga RM15,000 bagi setiap persembahan sejak hampir 25 tahun lepas, selain syarikat produksi dikehendaki membayar deposit RM10,500 sebelum memulakan persembahan. Sementara itu, sebelum Istana Budaya ditutup sepenuhnya selama dua tahun bermula tahun hadapan, Zubaidah mengalu-alukan jika ada mana-mana syarikat produksi atau agensi yang berminat untuk mengadakan persembahan atau pementasan di Panggung Sari, sebelum hujung tahun ini. "Kita masih ada beberapa slot persembahan atau pementasan sebelum berakhirnya tahun ini dan mereka yang berminat, boleh menghantar permohonan selewat-lewatnya September depan," katanya. Zubaidah berkata, Istana Budaya akan ditutup sepenuhnya selama dua tahun bermula 1 Januari 2024 hingga 1 Januari 2026, bagi membolehkan kerja-kerja menyelenggara dan membaik pulih bahagian luar bangunan ikonik itu, terutamanya penggantian bumbung dengan melibatkan peruntukan hampir RM30 juta. Beliau berkata, ia merupakan proses pembaikan dan penyelenggaraan yang kali pertama dilakukan secara besar-besaran, selepas hampir 25 tahun ia beroperasi. Beliau turut berharap tiada lagi penangguhan akan berlaku dan segala kerja membaik pulih akan siap mengikut tempoh yang telah ditetapkan. - Bernama
Read more:SINARH
2023-05-20 15:22:0

Catat Ulasan

0 Ulasan