Search

header ads

[SINARH] 'Terus pandang ke depan'



MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh perlu lebih tegas dengan operasi dan perancangan Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) agar pencapaian terburuk kontinjen Malaysia pada Sukan SEA Kemboja 2023 yang berakhir pada Rabu tidak berulang pada masa depan. Pengulas sukan Zainal Abidin Rawop berkata, menteri tidak perlu memberi penerangan berhubung kegagalan Malaysia mencapai sasaran 40 pingat emas pada temasya tersebut sebaliknya perlu menyerahkan kepada NSA untuk memberi penjelasan terperinci. Tambahnya, Kementerian Belia dan Sukan juga perlu lebih 'garang' bagi memastikan Majlis Sukan Negara (MSN) bertegas dengan NSA untuk membuat persiapan yang rapi sebelum menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa agar pulangan kepada pelaburan jutaan ringgit itu berbaloi. "Menteri tidak perlu beri penerangan panjang lebar, sebaliknya persatuan yang kena beri penjelasan kerana mereka yang bersemangat dan bercita-cita tinggi untuk capai sasaran. "KBS perlu bertegas dengan MSN supaya beritahu NSA kalau mereka betul-betul nak sertai Sukan SEA, kena buat persiapan rapi sebab jutaan ringgit sudah dikeluarkan. "Namun apa yang berlaku, pulangan seperti ini terburuk dalam sejarah Sukan SEA. Ia adalah sesuatu yang memalukan," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis. Kontinjen Malaysia menamatkan temasya dwitahunan itu di tempat ketujuh di belakang Singapura setelah sekadar mengutip 34 pingat emas, 45 perak dan 64 gangsa. Singapura yang mengutip 51 emas juga cemerlang dalam sukan renang apabila meraih 22 daripada 39 emas berbanding Malaysia cuma memperoleh satu emas. Justeru Zainal Abidin berharap, pemegang taruh terus pandang ke hadapan, berfikir di luar kotak kerana para peminat mahu melihat pembaharuan dalam sukan negara di peringkat antarabangsa. Beliau berkata, menteri mungkin boleh membuat keputusan tidak popular bagi menyelamatkan sukan Malaysia. "Menteri kena tegas, mungkin keputusan di luar kotak pemikiran adalah tak beri pasukan tak berjaya ini daripada menyertai kejohanan di luar negara selagi tiada persiapan konkrit jangka panjang yang kemas sebab kita harap ada perubahan. "Tidak payah nak buka cerita itu dan ini, sebab apa kita kehilangan emas (Sukan SEA). Jangan buang masa terus buat persiapan untuk Sukan Asia. Itu lebih baik," katanya. Beliau juga berharap kontinjen Malaysia menghantar atlet terbaik pada Sukan Asia di China September kerana temasya itu bukan pentas untuk pendedahan sebaliknya ia adalah pentas besar atlet elit di rantau Asia.
Read more:SINARH
2023-05-19 8:0:0

Catat Ulasan

0 Ulasan