Search

header ads

[SINARH] Tiada kompromi pihak mainkan isu perkauman, agama - TPM



BANTING - Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang berterusan memainkan isu perkauman dan agama. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, justeru, kerajaan akan terus menunjangi soal berkaitan Islam dan bangsa Melayu tanpa mengetepikan agama serta bangsa lain. "Tidak akan pernah luntur rasa kemelayuan dan tidak cair keimanan kita kalau kita menyantuni bangsa serta agama lain," katanya semasa merasmikan majlis anugerah sempena Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia ke-42 dan 43 di sini malam Sabtu. Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Malaysia adalah sebuah negara bermasyarakat majmuk dan kemajmukan itu harus disantuni demi mewujudkan suasana yang harmoni dalam masyarakat. "Begitu juga soal kestabilan politik, bukan hanya semata-mata kerana agenda tetapi untuk pembangunan negara bagi pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat keseluruhan," katanya. Beliau juga berkata, kepimpinan baharu belia khususnya Gerakan Belia 4B Malaysia harus melihat tiga elemen yang turut ditawarkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dalam memastikan mereka bukan hanya berkhidmat untuk ahli semata-mata malah untuk seluruh masyarakat. Katanya, elemen yang ditawarkan itu adalah penglibatan ahli serta masyarakat khususnya belia dalam sektor ekonomi bagi menaik taraf kehidupan, keterlibatan belia dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta skim rangsangan untuk menaikkan profesion pelajar tahfiz yang menghafaz 30 juzuk al-Quran. "Pertamanya, organisasi yang kita ketuai perlu melihat kepada aspek keterlibatan ahli dalam sektor ekonomi khususnya dan menaik taraf status sistem mesti dilakukan... menerusi program keusahawan (yang ditawarkan kementerian). "Kementerian juga tawarkan sebanyak 529 kursus menerusi program TVET yang pelbagai agar dimanfaatkan bukan sahaja untuk ahli tetapi juga pemimpin organisasi belia," katanya. - Bernama
Read more:SINARH
2023-05-28 0:4:0

Catat Ulasan

0 Ulasan