Search

header ads

[SINARH] Ugut ibu guna pisau, duda dipenjara 24 bulan



MELAKA - Seorang duda dipenjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa, selepas mengaku bersalah mengugut ibu kandung sendiri dengan pisau untuk mendapatkan wang pada September tahun lalu. Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu ke atas Wira Md Aris, 41, selepas dia membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya. Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap ibu sendiri, Ara Sembok, 66, dengan maksud hendak menakutkan menggunakan sebilah pisau dalam keadaan marah untuk meminta wang. Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 5 petang di ruang dapur sebuah rumah bernombor di Bertam Malim di sini, pada 22 September 2022. Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha mencadangkan hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat kerana perbuatan tertuduh yang menakutkan mangsa menggunakan pisau. Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Muhammad Izzuddin Ab Malek merayu hukuman penjara minimum bermula dari dia ditahan kerana tertuduh telah menyesali perbuatannya selain perlu menanggung tiga orang anak dengan pendapatan RM800 sebagai nelayan. Mahkamah kemudian memutuskan hukuman penjara ke atas tertuduh dijalankan bermula dari tarikh dia ditahan iaitu pada 18 Mei lalu.
Read more:SINARH
2023-05-23 13:53:0

Catat Ulasan

0 Ulasan