Search

header ads

[SINARH] Usahawan jutawan kelahiran RISDA



BANGI - Langkah proaktif yang dilakukan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan usahawan telah melahirkan ramai usahawan berjaya. Program Groom Big dan bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) yang bertujuan memperkasakan potensi usahawan bersaiz mikro dan kecil misalnya, telah melahirkan ramai jutawan seterusnya menjadi 'model' untuk diketengahkan bagi menjadi tunjang kepada rakan usahawan bimbingan RISDA yang lain. Pemenang tempat pertama Anugerah Top Achiever 2022, Mohd Khusairi Ibrahim, 39, adalah antara usahawan cemerlang yang berjaya dilahirkan RISDA, dengan jualan tahunan sebanyak RM11.2 juta. Terlibat dalam bidang automotif, syarikatnya iaitu M&N Unic Sdn. Bhd. menawarkan perkhidmatan tayar dan servis di Jitra, Kedah. "Saya memulakan bisnes bengkel tayar ini pada tahun 2009 dan 2018, dapat bantuan AET sebanyak RM10,000. Setahun kemudian, saya mendapat bantuan daripada RISDA lagi sebanyak RM50,000. "Bantuan itu digunakan untuk membeli peralatan yang lebih lengkap seperti mesin servis penghawa dingin. Alhamdulillah, ia bagaikan 'mesin ATM' untuk saya menjana pendapatan," kata anak penoreh getah, yang juga pemenang Usahawan Muda pada 2018. Mohd Khusairi sebelum itu menerima anugerah berkenaan daripada Pengerusi RISDA, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada program Risdapreneur Biztalk 2023 yang berlangsung di Hotel Tenera, di sini pada Selasa. Turut hadir, Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Ali Sabuddin Abd Samad; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Korporat), Ahmad Zainal Abdullah dan Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan, Md Najip Ishak. Berjaya buka kilang Mohammed Zul Fikri Zulyazan, 27, pula mendapat tempat kedua Anugerah Top Achiever 2022 apabila berjaya mencatat jualan tahun sebanyak RM9.9 juta sepanjang tahun 2022, dengan purata jualan sebulan RM825,000. Terlibat dalam bidang pertanian, syarikatnya dan keluarga iaitu Puchong Perdana Enterprise mengeluarkan produk baja, racun dan alatan pertanian. "Perniagaan ini sebenarnya diasaskan oleh ibu bapa sejak 1998, sebelum saya sertai mereka. Alhamdulillah, saya mendapat bantuan RM50,000 setelah menang Program Groom Big pada 2019. "Kemudian, saya mula belajar membuat dan proses baja jenama sendiri. Tahun lepas, saya berjaya membuka kilang di Serting, Negeri Sembilan," katanya yang pernah memenangi Anugerah Perdana Usahawan Peringkat Kebangsaan 2015 anjuran RISDA. Bekas pesara kerajaan, Ya'akop Mohd Isa, 65, pula memenangi tempat ketiga dengan jualan tahun 2022 berjumlah RM5.3 juta dengan purata jualan sebulan RM440,000. Beliau amat gembira dengan pengiktirafan yang diterima dan menyatakan kejayaannya sekarang banyak didorong oleh RISDA. "Saya mula dapat bantuan sebanyak RM10,000 pada 2017 untuk beli mesin dan secara keseluruhannya berjumlah RM80,000. RISDA juga membantu dalam memperkukuhkan strategi pemasaran melalui media sosial, malah saya juga diajar menggunakan TikTok," ujar beliau. Usahawan bimbingan RISDA, Nor Ismawarni Ismail, 38, juga mula meniti kejayaan dengan penghasilan tudung dan anak tudung melalui syarikat Idaman Qaseh Collection. Anak pekebun kecil dari Jitra, Kedah ini sudah sembilan tahun berniaga dan menjana pendapatan bulanan sehingga RM100,000 sebulan dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 120,000 unit setahun. Memperkasa usahawan Sementara itu, Noraini dalam ucapannya berkata, Program Risdapreneur Biztalk dilaksanakan untuk memperkasakan usahawan bimbingan RISDA yang berpotensi untuk diketengahkan menjadi tunjang kepada rakan usahawan lain. Menurutnya, sejak 2016 hingga kini, seramai 145 usahawan bimbingan RISDA telah menerima bantuan melalui Program Groom Big. "Setakat April 2023, usahawan-usahawan ini telah berjaya menghasilkan jualan terkumpul sebanyak RM23.95 juta dengan purata hasil jualan RM49,916 seorang bagi setiap bulan. "Jika dilihat kepada anggaran purata hasil pendapatan 30 peratus daripada nilai jualan bulanan mereka, boleh dikatakan golongan peserta ini menerima pendapatan sebanyak RM14,974 bagi setiap bulanan jualan," katanya. Noraini turut menyeru pemilik tanah getah atau orang awam yang memiliki tanah di bawah keluasan 40 hektar agar menyertai program RISDA, sama ada melalui skim tanam semula atau tanam baharu tanaman getah. Jelasnya, melalui penyertaan program utama ini, pelbagai bantuan sokongan yang disediakan oleh kerajaan dapat dimanfaatkan oleh semua pekebun kecil getah bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran yang berterusan. Bagi mendapatkan maklumat lanjut, pekebun kecil dan juga orang ramai digalakkan untuk mengunjungi pejabat-pejabat RISDA yang berhampiran atau melayari laman web Suara Risda di www.suararisda.my.
Read more:SINARH
2023-05-24 11:25:0

Catat Ulasan

0 Ulasan