Search

header ads

[SINARH] ADUN PN minta sumbangan, Altimet sedia beri 'white board'



SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau dikenali sebagai Altimet bersedia menyumbang papan putih atau 'white board' pada Tabung Infaq Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ijok. Menerusi ciapan di Twitter, Altimet berkata, beliau akan menggunakan royalti lagu yang diperoleh bagi tujuan tersebut. "Saya sponsor (taja) whiteboard Insya-ALLAH. Pilihan raya dah habis. Dahulukan khidmat kepada rakyat. "Baru-baru ini ada royalti masuk sikit, boleh kongsi rezeki, alhamdulillah," katanya pada Jumaat. Sebelum ini, tular di media sosial Tabung Infaq PKM ADUN Ijok, Jefri Mejan daripada Perikatan Nasional (PN) yang memohon sumbangan peralatan pejabat berkenaan. Antara peralatan diperlukan termasuk set komputer, mesin pencetak, perabot pejabat, peti ais, papan tanda PKM, papan putih, set sofa dan internet. Poster tersebut turut disekalikan nombor akaun Bank Islam, 12168010000252 bagi yang ingin menyalurkan sumbangan berbentuk kewangan. Dalam Twitter berasingan Altimet turut menyeru orang ramai untuk berfikiran positif dan membantu mengikut kemampuan masing-masing. "Kepada yang berminat untuk menolong tapi ada rasa ragu boleh sumbangkan barangan. Selamat datang kepada husnuzon," menurut ciapan di Twitternya. Beliau turut menerangkan membantu atas dasar anak jati Selangor walaupun berlainan parti. "Ijok dalam Selangor. Saya anak Selangor. Saya kakitangan kerajaan negeri Selangor," balasnya kepada komen seorang pengguna yang menyarankan beliau berkongsi rezeki kepada ADUN Pakatan Harapan (PH) sahaja kerana tidak mahu disalah tafsir oleh pihak luar. Sementara itu, bekas ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli turut memberikan respons berhubung isu sumbangan membabitkan ADUN pembangkang di Selangor. Beliau berkata, ADUN bukan kerajaan menghadapi kesukaran berkaitan soal peruntukan dan perbelanjaan susulan kerajaan negeri melantik Penyelaras DUN untuk mentadbir DUN diwakili ADUN pembangkang. "Peruntukan saya dipotong 50 peratus selepas jadi ADUN pembangkang dan semua urusan rasmi tidak melibatkan saya contohnya mesyuarat tindakan daerah, perancangan bandar dan perbelanjaan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris). "Saya terpaksa kerja keras dengan jumpa pegawai-pegawai untuk minta bantu selesaikan masalah penduduk. Ada juga pegawai dapat tekanan kerana membantu saya," katanya menerusi perkongsian di Facebook. Beliau turut berkata, terpaksa menggadai apa yang perlu untuk memberi kepada yang memerlukan tanpa memberi alasan sebagai ADUN pembangkang. Beliau turut menyertakan surat pajak yang digunakan untuk berkhidmat sebagai ADUN dan perlu bekerja keras untuk menebus barang berkenaan yang didakwa melebihi RM500,000.
Read more:SINARH
2023-09-01 19:42:0

Catat Ulasan

0 Ulasan