Search

header ads

[SINARH] Ahli Parlimen saran kerajaan nilai kesan laksana subsidi bersasar



KUALA LUMPUR - Satu penilaian kesan pelaksanaan Program Subsidi Bersasar terutamanya terhadap golongan M40 dan pemain industri berskala kecil perlu dijalankan sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya bermula tahun depan. Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) dalam perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) berkata, ia kerana golongan berkenaan tidak terlepas daripada berdepan dengan cabaran ekonomi masa ini. "Dalam pelaksanaan bagi subsidi bersasar, di sini saya ingin menarik perhatian supaya apabila kita ingin laksanakan subsidi bersasar ini, kita harus juga melihat kepada golongan M40 dan kalau kita lihat M40 yang tinggal di bandar, mereka juga menghadapi cabaran yang besar. "Jadi apabila kita nak adakan subsidi bersasar ini kita harus ambil berat tentang golongan M40 ini," katanya. Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) pula berkata, kerajaan perlu meneliti pelaksanaan subsidi bersasar dan mempertimbangkan agar pemain industri berskala kecil tidak terjejas dengan pelaksanaan mekanisme itu. Beliau berkata, terdapat sejumlah kontraktor kecil mengadu mengenai peningkatan kos secara mendadak untuk menjalankan projek susulan pelaksanaan permit khas yang dilaksanakan kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). "Walhal mereka ini bukanlah menjalankan projek jutaan ringgit, hanyalah menjalankan projek kecil dan kerajaan harus melihat golongan ini. "Ramai dalam kalangan mereka...(contohnya) ada kontraktor yang memotong rumput tidak dibenarkan membeli petrol bersubsidi ini semestinya mengurangkan keuntungan dan menyebabkan mereka tidak dapat melaksanakan projek mereka kalau kita tidak melihat perkara ini," katanya. Menteri Ekonomi Rafizi Ramli semalam berkata, Program Subsidi Bersasar dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya bermula tahun depan. Beliau berkata, jangka masa itu ditetapkan setelah tempoh percubaan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dilaksanakan November ini, sebelum dibuka kepada orang ramai untuk pengesahan kedudukan sosioekonomi mereka pada Januari depan. Khoo turut meminta kerajaan mempertimbangkan semula keputusan untuk membatalkan projek yang telah diluluskan tapi masih belum dilaksanakan pembinaannya. "Dalam hal ini saya ingin menyeru supaya mengkaji semula keputusan ini sebab kadangkala ada projek yang memang penting yang telah diluluskan dalam RMK terdahulu tetapi masih belum dilaksanakan barangkali kerana isu perundangan ataupun isu kekurangan peruntukan sehingga tidak dapat dijalankan," katanya. Sementara itu, Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) menyambut baik komitmen kerajaan untuk mengoptimumkan potensi ekonomi wilayah dan membangunkan infrastruktur di luar bandar. Beliau berharap negeri dan daerah termiskin seperti Bachok tidak tercicir dari Rolling Plan yang berbaki dalam RMK12. "Usaha kerajaan untuk mempertingkatkan, mempelbagai dan melindungi pendapatan golongan miskin perlu dipergiatkan. Kami di Sabah, Kelantan, Sarawak termasuklah di Bachok sangat mengalu-alukan program sebegini," katanya. - Bernama
Read more:SINARH
2023-09-12 17:53:0

Catat Ulasan

0 Ulasan