Search

header ads

[SINARH] Belia ejen perubahan perkukuh perpaduan



LABUAN - Golongan belia menjadi ejen perubahan ke arah memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia. Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail berkata, peranan itu dapat dilaksana dengan memupuk kefahaman antara budaya, memerangi diskriminasi dan mempromosikan nilai-nilai toleransi. "Kita menyedari kepentingan belia sebagai aset tumpuan utama yang merujuk peranan generasi muda dalam mendukung perpaduan dan memenuhi harapan negara," katanya menerusi ucapan perasmian program Citra Belia sempena sambutan Hari Malaysia Peringkat Labuan, di sini pada Sabtu. Menurutnya, golongan itu turut ditagih untuk membawa inovasi dan pembaharuan ke dalam pelbagai sektor termasuk ekonomi, teknologi dan pendidikan. "Merekalah yang diharapkan menjadi penggerak pembangunan negara dengan memperkenalkan idea-idea baharu dan solusi untuk menangani usaha memajukan negara," ujar beliau. Program Citra Belia dianjurkan Perbadanan Labuan dengan kerjasama Majlis Belia Labuan julung kalinya diadakan bersempena Hari Malaysia yang disambut setiap 16 September. Pelbagai acara diatur dengan penglibatan masyarakat setempat antaranya persembahan gerak seni mempertahankan diri, tarian tradisional dan diserikan oleh persembahan artis jemputan Afieq Syazwan. Dalam pada itu, Rithuan berkata, kemerdekaan tidak akan dicapai tanpa kesepakatan anak watan menentang dan mempertahankan tanah air daripada penjajah. "Demi mempertahankan negara ini, anak watan terutama para belia mestilah gagah berani yang selayaknya digambarkan dengan ketangkasan sang perwira berpencak di dalam persembahan ini. Kemerdekaan ini juga adalah sebuah nikmat yang dikurniakan Ilahi yang wajib kita jaga dan pertahankan," katanya.
Read more:SINARH
2023-09-16 21:20:0

Catat Ulasan

0 Ulasan