Search

header ads

[SINARH] Himpunan di ibu negara tidak patuh Akta Perhimpunan Aman 2012 - Ketua Polis KL



KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil sesiapa sahaja untuk siasatan berkenaan Himpunan Selamatkan Malaysia yang diklasifikasikan sebagai tidak patuh selepas dilaksanakan di ibu negara pada Sabtu. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, himpunan itu bermula di Masjid Jamek Kampung Baru kira-kira jam 1.15 petang dan berakhir pada jam 3.30 petang di hadapan pusat beli-belah Sogo membabitkan 16 ucapan individu. Menurutnya, polis telah mengambil tindakan dalam memudahcarakan perhimpunan dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku. "Saya menekankan perkara ini dan pihak polis sebagai penguat kuasa undang-undang. Jadi kita berpandukan undang-undang iaitu Akta Perhimpunan Aman 2012 yang menggariskan perkara yang perlu dipatuhi oleh polis dan penganjur khususnya Seksyen 9, 10 dan 11. "Mengikut Seksyen 9, penganjur perlu berikan pemakluman dan ia ditetapkan dalam akta terbabit," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Sabtu. Beliau berkata, dalam borang pemakluman ini, penganjur perlu menyatakan kebenaran pemilik tanah dan sebagainya dan perlu disertakan kebenaran terbabit. Katanya, polis ada tanggungjawab besar perlu memberi maklum balas selain mendapatkan pandangan penduduk dan pemilik harta sebelum program terbabit dilaksanakan. "Pemakluman ini mengikut akta yang ditetapkan, bukan surat biasa. "Buat masa ini perhimpunan ini tidak patuh akta dan kita akan lihat kembali apa tindakan susulan yang wajar kita ambil," ujarnya. Tambah Allaudeen, dianggarkan seramai 800 hingga 850 peserta hadir dalam himpunan terbabit. "Kita akan panggil sesiapa sahaja yang boleh membantu dalam siasatan dan bukan tertakluk kepada 16 orang yang berucap di himpunan terbabit sahaja. "Polis juga ada menerima satu laporan polis semasa himpunan terbabit dan akan diklasifikasi selepas meneliti laporan terbabit," jelasnya.
Read more:SINARH
2023-09-16 17:54:0

Catat Ulasan

0 Ulasan