Search

header ads

[SINARH] Kerajaan NATO: Fahmi jawab dakwaan Syed Saddiq



SHAH ALAM - Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil tampil menjawab tiga perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung Kerajaan Perpaduan yang dilabelkan 'Kerajaan NATO' (No Action Talk Only). Fahmi berkata, tiga perkara itu melibatkan soal peruntukan kepada pembangkang, pengisytiharan harta anggota kabinet dan pengguguran kes rasuah melibatkan ahli politik. Ujar beliau, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof telah memaklumkan pada 8 Mei lalu bahawa pihak pembangkang perlu bagi cadangan jika mahu dapatkan peruntukan ahli Parlimen. "Proses itu dah ada, selesaikanlah rundingan tapi masalahnya sampai ke hari ini pihak pembangkang masih belum lagi bagi cadangan. "Jadi kepada Syed Saddiq dan juga yang lain kalau nak tahu kenapa ahli Parlimen pembangkang masih belum dapat peruntukan, tanyalah ketua pembangkang," katanya dalam siaran video menerusi aplikasi X pada Selasa. Pada Isnin, media melaporkan Syed Saddiq menyifatkan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'Kerajaan NATO' atau kerajaan cakap sahaja, namun tiada tindakan. Dalam pada itu, merujuk soal pengisytiharan harta bagi anggota kabinet, menurut Fahmi, Perdana Menteri pada Januari lalu telah memaklumkan bahawa perbincangan sedang berjalan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk rangka semula parameter jelas dan telus berhubung proses pengisytiharan harta. "Bab isytihar harta ini, Perdana Menteri dah kata dalam tindakan bersama agensi-agensi, Perdana Menteri sendiri isytihar harta pada Oktober 2022 dengan aset berjumlah lebih RM11 juta. Saya pun dah isytihar harta, Syed Saddiq pun dah isytihar. "Yang PM jawab Januari lalu maksudnya proses itu sedang berjalan untuk rangka semula proses pengisytiharan harta," ujarnya. Sementara itu, soal pengguguran kes rasuah melibatkan ahli politik, ulas Fahmi, apa yang dibacakan oleh Syed Saddiq adalah petikan dari Julai 2022 iaitu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), malah tidak dibaca penuh oleh Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu. Jelasnya, kenyataan Anwar pada ketika itu merujuk kepada konteks usaha beliau pada tahun 2020, bukan selepas terbentuknya Kerajaan Perpaduan. "Kita kena ingat Kerajaan Perpaduan dibentuk pasca PRU15 atas nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk selesaikan masalah Parlimen tergantung. "Dalam soal melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) sama ada kes Datuk Seri Dr Zahid, Tan Sri Muhyiddin atau yang mana-mana lain kerajaan tidak terlibat. "Budi bicara Peguam Negara di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan atau mungkin Syed Saddiq yang tidak boleh terima perkara ini," jelasnya.
Read more:SINARH
2023-09-19 16:41:0

Catat Ulasan

0 Ulasan