KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa memudahkan proses Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini sempena sambutan Hari Malaysia. Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, kedudukan Kerajaan Perpaduan pada hari ini juga tidak akan terjejas walaupun himpunan aman itu disertai 10,000 orang. "Saya ingin memohon (jika) dahulu menjunjung prinsip boleh berhimpun secara aman, Sabtu ini anak muda minta nak berhimpun. Jadi (minta) pihak kerajaan permudahkan. Tak ramai yang nak berhimpun, kalau datang 10,000 orang, masih belum cukup untuk menggoncang kerajaan. "Kami ahli Parlimen telah membuat undang-undang, tidak akan konfrontasi dengan polis, penguatkuasa, tetapi minta kerajaan permudahkan urusan berhimpun. "Kalau perlu tukar tempat, kami akan tukar tempat. (Perhimpunan) sekadar untuk meluah rasa, rakyat tidak berpuas hati dengan isu pengurusan undang-undang pada hari ini," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa. Sebelum ini media melaporkan, Pemuda Perikatan Nasional (PN) bersama gabungan badan bukan kerajaan (NGO) bakal mengadakan himpunan tersebut di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. Kempen yang dijadual bermula pukul 2 petang itu bertujuan untuk membuka mata rakyat berkenaan isu semasa termasuk kes Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melibatkan pertertuduhan 47 kes rasuah dan pengubahan wang haram. Dalam pada itu Ahmad Fadhli berkata, pihaknya akan sentiasa memberi kerjasama sekiranya diarahkan polis untuk memberi kenyataan. "Cuma saya nak perbetulkan kenyataan (berkaitan) perhimpunan perlukan permit. Tidakkah perhimpunan sudah tidak perlukan permit, cuma perlu pemakluman kepada polis. "Kalau boleh, menteri cuba beri jawapan terhadap isu yang diangkat ini kerana kalau dahulu kita membenarkan (perhimpunan), menjunjung kebebasan berhimpun, takkan dah jadi kerajaan tidak benarkan pula orang berhimpun. "Kami tidak akan mengulangi perhimpunan yang melanggar undang-undang seperti yang berlaku di Parlimen dua tahun lepas, ketika ramai ahli Parlimen berarak masuk ketika bukan waktu sidang dan sebagainya. Kami akan patuh kepada undang-undang tetapi tolong permudahkan urusan kami," ujarnya. Ketua Pemuda PN itu turut mengajak ahli Parlimen kerajaan untuk menyertai perhimpunan aman sebagai tanda meluahkan rasa tidak berpuas hati terhadap pengurusan perundangan hari ini. "Saya mohon kepada semua, saya tahu bahawa parti dalam kerajaan sendiri sangat tidak selesa dengan isu pada hari ini. "Marilah kita sama-masa meluahkan rasa dan apa yang terbuku supaya penjelasan dapat diberikan. Insya-ALLAH rakyat boleh menerima penjelasan ini. Kena betulkan undang-undang supaya adil dan dilihat adil," tegasnya.
Read more:SINARH
2023-09-12 15:35:0
0 Ulasan