Search

header ads

[SINARH] Pertimbang pembiayaan awam parti politik jadi ketetapan dasar



SHAH ALAM - Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk memasukkan pembiayaan awam parti politik sebagai salah satu daripada tujuh pertimbangan ketetapan dasar berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik. Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Thomas Fann berkata, cadangan itu dibuat untuk memastikan bahawa akta tersebut dapat mengawal selia cara parti mendapatkan dana. Selain itu katanya, pembiayaan awam dapat disediakan berdasarkan peratusan undi pada pilihan raya lalu. "Dengan komponen ini, kami mahu meminimumkan pergantungan pihak kepada penderma korporat besar yang mungkin cuba mempengaruhi dasar kerajaan atau mempunyai akses kepada kontrak kerajaan secara tidak adil," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Selasa. Pada 18 September, media melaporkan Jemaah Menteri menetapkan tujuh pertimbangan ketetapan dasar berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik antaranya mewujudkan undang-undang baharu mengawal selia sumbangan politik. Thomas berkata, pihaknya mengalu-alukan pengumuman yang telah lama tertangguh oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Dr Azalina Othman Said mengenai Kabinet bersetuju dengan penggubalan Akta Pendanaan Politik. Jelas beliau, pihaknya berharap agar Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) atau Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (JKPK) akan terlibat secara aktif dengan semua pihak berkepentingan. Beliau berkata, penglibatan pihak berkepentingan itu perlu supaya dapat mencadangkan butiran untuk Akta Pendanaan Politik yang boleh menambah baik undang-undang berkenaan. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pengarah Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Pushpan Murugiah berkata, tindakan kerajaan dalam mengemukakan tujuh pertimbangan ketetapan dasar adalah satu pendekatan holistik yang kukuh untuk menguruskan pembiayaan politik di Malaysia. Jelasnya, C4 menyokong penuh usaha yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan termasuk memastikan pemantauan terhadap sumbangan kewangan sepanjang masa dan bukannya sewaktu pilihan raya sahaja. Dalam pada itu, Pushpan turut menyarankan bahawa kerajaan perlu mengehadkan jumlah sumbangan yang dibenarkan dan ia mesti diisytiharkan. "Bukan itu sahaja, kita juga berharap agar kerajaan mewajibkan sumbangan politik itu dimasukkan ke dalam akaun yang ditetapkan untuk tujuan tertentu sahaja. Langkah itu akan membantu mengekang penyalahgunaan 'derma'. "Bagaimanapun, mana-mana badan berkanun Persekutuan yang ditubuhkan bagi tujuan menjalankan peranan pemantauan dalam hal ini perlu berdiri sendiri (berdikari)," katanya. Beliau berkata, tahap pemisahan struktur cawangan eksekutif juga perlu dilakukan sebagai contoh badan berkanun Persekutuan tidak boleh diletakkan di bawah Pejabat Perdana Menteri seperti yang telah dilakukan untuk kebanyakan institusi pengawasan lain. Ujarnya, C4 berharap inisiatif itu akan disegerakan dalam sidang Parlimen akan datang, memandangkan isu mengawal pembiayaan politik di Malaysia telah diperkatakan terlalu lama.
Read more:SINARH
2023-09-19 16:28:0

Catat Ulasan

0 Ulasan