Search

header ads

[SINARH] Tiga kes kematian akibat keganasan rumah tangga tempoh dua bulan



SHAH ALAM - Tiga kes keganasan rumah tangga hingga melibatkan kematian direkodkan di Selangor dalam tempoh dua bulan pada Ogos dan September. Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, keganasan rumah tangga bukan sahaja melibatkan kecederaan fizikal atau mental malah ada yang maut akibat menjadi mangsa penderaan. "Sekitar Ogos dan September, kita dikejutkan dengan tiga kes keganasan rumah tangga sehingga mengakibatkan kematian iaitu di Serdang, Kajang dan Petaling Jaya. "Kes pertama melibatkan seorang budak yang didera sehingga maut oleh ibu dan teman lelakinya, kes kedua melibatkan kematian seorang isteri sehingga mati, manakala kes ketiga seorang anak telah membunuh bapanya sendiri," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Memerangi Keganasan Rumah Tangga 2023 Polis Selangor di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu. Mengulas lanjut Hussein berkata, stigma anggapan kes keganasan rumah tangga adalah masalah peribadi atau masalah keluarga perlu ditepis. Sebaliknya beliau berkata, kes terbabit bukan satu hal yang remeh kerana sekiranya tidak ditangani, ia boleh mengakibatkan kehilangan nyawa. "Kita perlu mengubah tanggapan tidak menjaga kain orang memandangkan jenayah ini boleh mendatangkan kemudaratan bukan sahaja kepada mangsa, namun ahli keluarga serta anak sekiranya dibiarkan berlarutan," katanya. Mengulas mengenai penganjuran seminar ini, jelas beliau, ia diadakan untuk memberikan pengetahuan berkaitan soal perundangan dan proses pengendalian terkini kes keganasan rumah tangga. "Antara yang diberi penekanan merangkumi ceramah prosuder siasatan, jenis bantuan serta sokongan termasuk kaunseling. "Selain itu turut didedahkan adalah berkaitan tempat dan perintah perlindungan kepada mangsa, khidmat bantuan guaman serta tunjuk ajar dan demonstrasi mempertahankan diri," katanya.
Read more:SINARH
2023-09-13 14:59:0

Catat Ulasan

0 Ulasan