Search

header ads

[SINARH] TNB lancar program ‘My Brighter Green’



SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) meraikan ulang tahunnya yang ke-74 dengan melancarkan program 'My Brighter Green' (MBG) bagi membantu memelihara ekosistem dan melindungi kepelbagaian biologi serta membantu komuniti tempatan. TNB memaklumkan, program MBG merupakan antara program di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat utiliti negara itu yang antara lain melibatkan penanaman 74,000 batang pokok daripada enam spesies. Enam spesies pokok yang akan ditanam dalam program MBG itu meliputi Bakau Minyak, Bakau Kurap, Gapis, Kasai, Rambutan dan Bucida manakala usaha berkenaan akan turut melibatkan penyertaan daripada komuniti setempat, sukarelawan dan warga kerja TNB bagi memperkasakan masyarakat setempat serta menyokong penghidupan melalui pembelian anak benih dan penglibatan mereka dalam aktiviti penanaman. Kesemua jenis spesies pokok itu akan ditanam secara berperingkat di 39 lokasi meliputi premis-premis TNB, rumah peranginan TNB Cahaya Resort dan stesen-stesen janakuasa di seluruh negara. Dengan usaha penanaman pokok tersebut ia dianggarkan membantu menyerap lebih daripada 2.96 juta kilogram karbon dioksida sekali gus dapat membantu mengimbangi suhu dan iklim kawasan-kawasan setempat. "Kelestarian, perubahan iklim dan degradasi alam sekitar telah menjadi kebimbangan utama sejak sekian lama. Langkah penyelesaian yang drastik dan segera perlu diambil bagi mengurangkan impak terhadap alam sekitar dan membentuk kehidupan serta komuniti yang lestari," menurut TNB. Selain itu, TNB turut memaklumkan pelaksanaan program MBG melibatkan tiga fasa yang mana fasa pertama meliputi 14 buah lokasi yang telah pun dimulakan pada Jumaat. Antara lokasi tersebut adalah di Stesen Janakuasa (SJ) Tuanku Mukhriz, Negeri Sembilan; SJ Janamanjung (Perak) serta Kapar Energy Ventures di Selangor dan akan diteruskan sehingga Disember tahun ini. Pelaksanaan MBG merupakan antara komitmen berterusan TNB untuk memperkukuhkan agenda kelestarian selaras dengan hala tuju syarikat untuk mencapai sifar pelepasan gas rumah hijau pada tahun 2050 dan mencerminkan hasrat untuk menyumbang kepada masa depan hijau. Malah, elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sentiasa dititik beratkan TNB dalam pelbagai aspek pelaksanaan Peralihan Tenaga (ET) yang lebih bertanggungjawab. "Sebagai peneraju dalam agenda ET, TNB sedar akan keperluan komitmen ESG dalam setiap aktiviti dan operasi syarikat demi kemampanan alam sekitar dan ekonomi," jelas kenyataan itu. Untuk rekod, usaha penanaman semula hutan telah menjadi sebahagian aktiviti tanggungjawab sosial korporat TNB sejak tahun 2009 lagi. Dalam tempoh 14 tahun itu, sebanyak 67,500 batang pokok daripada pelbagai spesies telah ditanam. TNB akan meneruskan kerjasama dengan Malaysian Nature Society (MNS) dan Yayasan Hijau serta komuniti usahawan tempatan dalam pengeluaran benih dan operasi penanaman pokok bagi menangani perubahan iklim dan mengimbangi impak alam sekitar dalam pelaksanaan operasinya.
Read more:SINARH
2023-09-02 10:0:0

Catat Ulasan

0 Ulasan