Search

header ads

[SINARH] Lebih 1,000 pemandu lori berhimpun protes operasi JPJ



KUALA TERENGGANU - Lebih 1,000 pemandu lori di Terengganu berhimpun di hadapan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri yang menuntut kerajaan supaya mempertimbangkan semula syarat dan operasi penguatkuasaan dikenakan kepada mereka. Wakil Persatuan Pengusaha Kecil Kenderaan Perdagangan Pantai Timur, Ibrahim Mamat menyatakan pihaknya turut menyerahkan memorandum mengandungi lapan tuntutan berhubung perkara berkenaan. Ibrahim mendakwa operasi bersepadu antara JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuat secara melulu menyebabkan pengusaha dan pemandu lori hilang punca pendapatan utama mereka. "Antara tuntutan dibuat ialah perlepasan had muatan, pengurangan waktu operasi, tindakan saman terhadap pengilang dan pelombong, kenaikan sewa kenderaan perdagangan serta menghapuskan sistem saman demerit. "Jadi kami sepakat untuk mogok dan tidak bekerja selama seminggu. Kami juga berharap pihak berkuasa atau kerajaan memberi perhatian tentang kesusahan yang dialami pemandu lori," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad. Dalam pada itu, Ibrahim berkata, pihak persatuan menuntut kerajaan mengkaji semula prosedur operasi standard penguatkuasaan selain lebih bersikap bertimbang rasa kepada pemandu lori. Katanya, situasi tersebut meletakkan golongan pengusaha dan pemandu lori semakin tertekan dengan tindakan penguatkuasaan yang seolah-olah melayan mereka yang sedang bekerja seperti penjenayah. Selain itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Lori Terengganu, Fadhli Idris berkata, pihaknya memberi masa selama tujuh hari bermula hari ini kepada Kementerian Pengangkutan untuk meneliti memorandum berkenaan. "Harapan kita bahawa pihak yang terlibat iaitu pihak penguasa, menteri, agensi lain boleh beri kelonggaran. "Apa yang berlaku sekarang cukup tertekan dan kita faham undang-undang tapi perlu ada timbang balas sebab sekarang ini kerja pun dah susah. Jadi perkara ini diharapkan dapat perhatian daripada menteri," jelasnya. Sementara itu Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin, mengesahkan telah menerima tuntutan memorandum daripada wakil pengusaha lori pada hari ini. "Berdasarkan memorandum tersebut, tuntutan dikemukakan adalah melibatkan dasar agensi kerajaan dan saya akan panjangkan perkara ini kepada ibu pejabat untuk tindakan selanjutnya," jelasnya. Difahamkan susulan penyerahan memorandum itu, pemandu lori turut mengancam akan mengadakan mogok secara besar-besaran termasuk perhimpunan di bangunan Parlimen jika tidak menerima maklum balas dalam tempoh tujuh hari.
Read more:SINARH
2023-10-15 15:39:0

Catat Ulasan

0 Ulasan