VOKALIS kumpulan Scan, Azan Rashid mendedahkan pernah diperlekehkan penganjur acara yang menawarkan bayaran rendah untuk persembahan di luar Lembah Klang. Jelas Azan yang sudah 20 tahun berkecimpung dalam dunia seni, lebih menyedihkan apabila ada kumpulan lain sanggup 'makan kawan' biarpun menyedari bayaran diterima tidak setimpal. "Pernah kami ditawarkan cuma RM500 sahaja untuk menjayakan satu persembahan di luar kawasan selama sejam. "Bukan setakat dibayar dengan harga yang terlalu rendah, penganjur juga tidak menyediakan sebarang kemudahan lain seperti penginapan atau pun pengangkutan. "Kemudian, ada artis lain yang rela hati 'merendahkan' diri mereka menyambut tawaran tidak masuk akal itu. "Bila dah jadi macam ini, bagaimana artis lain yang berusaha keras menjaga martabat kerjayanya, hendak melawan permainan halus penganjur?" soalnya kesal. Tambah Azan, 51, sikap pilih kasih segelintir penganjur yang lebih 'mengagungkan' penyanyi popular menjadi antara punca banyak penyanyi lama dipinggirkan. "Apabila situasi seperti ini berlaku, di mana letaknya nilai artis senior yang kononnya peminat selama ini menggelarkan orang-orang lama sebagai legenda, otai dan sebagainya. "Kami sedar kami siapa, tak pernah sekali pun mintak harga seperti bulan dan bintang. "Apa saya boleh buat hanyalah berdoa semoga mereka ini semua terbuka hati untuk menghargai artis lama seperti kami," ujarnya pasrah. Azan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu–lagu Guzzbuzz Productions yang diadakan di sebuah hotel di Ampang, baru-baru ini. Melalui kerjasama dengan Guzzbuzz Productions itu, Azan merakamkan dua single berjudul Kasih dan Selamat Hari Ulang Tahun buat isteri tercintanya bersempena sambutan ulang tahun perkahwinan mereka. Selain Azan, Guzzbuzz Productions turut memperkenalkan empat lagi penyanyi di bawah pengurusan mereka iaitu Akid Aly, General Ling, Z-Loco dan Ize Suliman.
Read more:SINARH
2023-11-15 16:30:0
0 Ulasan