Search

header ads

[SINARH] Beto Kusyairi syukur selamat, mohon doakan seorang lagi mangsa nahas



AKTOR Beto Kusyairy meluahkan rasa syukur apabila terselamat dalam kemalangan melibatkan empat penunggang motosikal di Kilometer 349 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Ladang Bikam, pada Isnin. Menurut Beto, 43, dia hanya mengalami luka kecil. "Saya cuma nak maklumkan keadaan terkini, mungkin ada yang tahu, mungkin ada yang tak tahu. Saya terlibat kemalangan dengan dua penunggang lain. "Keadaan saya alhamdulillah ok, dah buat x-ray, tak ada yang patah atau retak, cuma ada luka-luka kecil," ujarnya menerusi satu hantaran video di akaun Instagram miliknya. Bagaimanapun, ujar bintang Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu, salah seorang penunggang yang turut menyertai Solidarity Ride Free Palestine Wings Motor Gangs Society (WMGS) ASEAN ke Masjid Negeri Perak di Ipoh mengalami kecederaan parah. "Cuma saya nak minta doakan seorang lagi penunggang, keadaan dia tidak berapa 'cantik' (alami kecederaan parah). Jadi saya nak mohon doakan kesihatan beliau, diberikan kekuatan. "Semoga keluarganya juga kuat hadapi dugaan ini," katanya. Menerusi video sama, pemilik nama penuh Nur Kusyairy Zakuan Osman itu turut mengingatkan semua penunggang motosikal agar lebih berhati-hati di jalan raya terutama pada musim hujan. "Untuk rider lain, yang nak berjalan jauh atau ke mana-mana. Sekarang tengah musim hujan, jalan licin, jadi mohon berhati-hati," ujarnya lagi. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, selain dua motosikal berkuasa tinggi jenis Harley Davidson, kemalangan itu turut melibatkan lima peserta konvoi skuter jenis Yamaha XMax yang dalam perjalanan dari Sepang, Selangor ke Gurun, Kedah. Bagaimanapun, dua daripada mereka mengalami kecederaan parah, termasuk seorang daripada team WMGS yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi. Dalam kejadian yang berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Ladang Bikam, jentera ditunggang Beto terjatuh selepas bergesel dengan motosikal lain yang memasuki laluannya secara tiba-tiba. Konvoi berkenaan adalah sebahagian daripada usaha menunjukkan sokongan terhadap rakyat Palestin yang berdepan kekejaman Zionis.
Read more:SINARH
2023-11-15 18:10:0

Catat Ulasan

0 Ulasan