Search

header ads

[SINARH] Heliza, Hazwani Helmi tekad teruskan solidariti buat Palestin



TANPA kita sedari, biarpun tentera Zionis masih rakus membunuh rakyat Palestin di bumi Gaza, perkongsian mengenai kekejaman itu sudah mulai kurang diperkatakan di media sosial. Ada antaranya memberi alasan tidak sanggup melihat kekejaman yang berlaku ke atas kanak-kanak, wanita dan warga emas. Namun tanpa kita sedari, ia membuatkan kita tidak lagi cakna tentang apa yang berlaku di negara itu. Atas faktor itulah mendorong adik-beradik, Datin Seri Heliza Helmi dan Hazwani untuk terus menguar-uarkan keadaan semasa di Gaza pada ketika ini. Jelas Heliza, beberapa kenalannya di Gaza, turut meminta dunia untuk terus bercakap tentang tindakan kejam Israel ke atas negara itu. "Saya faham ada antara kenalan saya yang mengakui tidak sanggup melihat keadaan semasa di Gaza, tetapi bila kita tidak kongsi, tidak ambil tahu, lama-kelamaan kita rasa tidak ada apa-apa yang berlaku. "Itu yang Israel mahukan, mereka mahu kita diam dan tidak berkata apa-apa tentang Palestin. Atas sebab itu, kita perlu teruskan solidariti buat Palestin," katanya. Heliza berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Himpunan Artis dan Seniman Malaysia Membela Palestin (HASPA) anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama lima pertubuhan milik selebriti tempatan iaitu Ribath Fatimah Az zahra milik penerbit dan pengarah Erma Fatima; Musollah Aisya yang dimiliki Datin Seri Umie Aida, Seniman Paksi Rakyat (PAKSI), Yayasan Afdlin Shauki dan Hijjaz. Tidak hanya sekadar solidariti, Heliza mengakui hati mereka membuak-buak mahu ke Gaza dan sedang menanti waktu sesuai ke negara itu. Ujar Heliza, ketika kali terakhir ke Gaza pada tahun 2019, wilayah itu semakin membangun dengan kewujudan sekolah, universiti, kafe dan tempat riadah untuk anak tempatan. Namun kini kebanyakan tempat sudah menjadi debu dan musnah dek kekejaman Israel. "Ketika kami ke sana, kami membawa misi 'Wake Up for Gaza' kerana ramai yang sudah lupa pergolakan di sana. Kalau boleh kami tidak mahu sokongan masyarakat terhadap mereka berlaku bermusim. "Harapnya perang kali ini akan membuka mata dunia terhadap kekejaman Israel yang bukan baru berlaku pada 2023. "Sejak hari pertama perang lagi, saya sudah hubungi MAPIM dan beritahu kami mahu turut serta ke Gaza sekiranya mereka ada perancangan ke sana. Atas faktor itu juga, kami sudah serahkan pasport kerana mahu nama kami naik secepat mungkin," jelasnya yang bersyukur kerana mempunyai keluarga dan suami yang memahami perjuangan mereka. Ditebak mengenai pertikaian segelintir pihak yang melihat usaha mereka untuk menyertai misi sebegini kerana nama dan populariti, Hazwani berkata, apa yang dilakukan adalah kerana minat mendalam untuk membantu orang lain. "Kami bukan sekadar sertai misi kemanusiaan ke Gaza, tetapi kami sertai apa jua misi bantuan tidak kiralah banjir, gempa bumi atau apa jua bencana. "Insya-ALLAH selagi ALLAH rezekikan kami masa dan kesihatan, kami akan pergi untuk menghulurkan bantuan. Bahkan kami ini sebenarnya hanya jambatan untuk menghulurkan derma atau bantuan yang disalurkan melalui kami," katanya yang mengakui pernah tidur bersama lipas, di dalam gua dan tidak mandi selama 10 hari demi misi kemanusiaan. Akaun disekat Dalam pada itu, Hazwani berkata, mereka akan terus membuat perkongsian mengenai keadaan terkini di bumi Gaza biarpun akaun mereka beberapa kali disekat oleh Meta. Bahkan Hazwani dalam perkembangan terbaharu memaklumkan tidak lagi dapat mengakses akaun TikToknya selepas setiap hari membuat perkongsian mengenai Palestin dan Israel. "Sebelum ini akaun Instagram dapat amaran dan saya tidak boleh buat siaran langsung sehingga Januari tahun depan. Kemudian akaun TikTok pula. "Alhamdulillah akaun Kak Ja (Heliza) sudah kembali seperti biasa. Jadi selain akaun peribadi, kami wujudkan juga akaun Instagram TheHelmisOfficial untuk kongsikan apa yang berlaku di sana," katanya.
Read more:SINARH
2023-11-15 17:15:0

Catat Ulasan

0 Ulasan