Search

header ads

[SINARH] Hormati undang-undang antarabangsa - Zambry



SAN FRANCISCO - Sudah tiba masanya kemerosotan dan hakisan terhadap aspek multilateralisme serta rasa hormat terhadap undang-undang antarabangsa ditangani bagi memupuk masa depan yang mampan, saksama dan inklusif untuk semua, kata Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. "Keamanan dan pembangunan saling berkaitan. Ketegangan geopolitik dan geoekonomi menyemarakkan lagi polarisasi. Kita sedang menyaksikan kemerosotan dan penghakisan multilateralisme serta penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa. "Ini terbukti menerusi peristiwa menakutkan yang dilihat berlaku di Gaza, dengan pembunuhan orang awam yang tidak berdosa termasuk wanita dan kanak-kanak," katanya pada sesi Pleno Mesyuarat Menteri-menteri APEC ke-34 di sini pada Rabu. "Kita tidak boleh selektif terhadap penderitaan manusia. Sikap tidak adil dan hipokrit mesti dihentikan. "Untuk masa depan yang mampan, saksama dan inklusif buat semua, kita perlu membina kepercayaan, merapatkan jurang yang semakin meningkat, dan menangani isu asas yang melanda dunia termasuk konflik yang semakin meningkat yang memecahbelahkan kita," katanya. Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza yang mengakibatkan kini lebih 11,000 rakyat Palestin terbunuh, termasuk lebih 7,800 wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 29,000 yang lain cedera. Zambry berkata, pengajaran pahit daripada pandemik Covid-19 mendedahkan betapa rapuh rantaian bekalan global. "Konflik di seluruh dunia memburukkan lagi keadaan. Penyelesaiannya bukan terletak pada usaha meningkatkan perlindungan dan langkah-langkah unilateral yang menghalang pembangunan sosioekonomi. "Kita perlu memastikan rantaian bekalan global yang lebih berdaya tahan yang memberi manfaat kepada semua, dan bukan hanya segelintir kelompok," katanya. Beliau turut mengambil peluang untuk mengetengahkan kenyataan bahawa Malaysia mengiktiraf kepentingan keselamatan siber dalam menjaga aspek kritikal Ekonomi Digital. Beliau berkata Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) telah ditugaskan untuk meningkatkan daya tahan negara terhadap cabaran semakin meningkat, diwujudkan oleh ancaman siber. "Dalam usaha meningkatkan daya tahan keseluruhan Malaysia dan respons kepada ancaman siber yang semakin meningkat, Malaysia sedang berusaha untuk memperkenalkan Rang Undang-undang Keselamatan Siber. "Apabila direalisasikan, rang undang-undang ini akan mengesahkan pendirian proaktif Malaysia dalam memperkukuh kapasitinya bagi menentang ancaman siber dengan berkesan, kerana ia memastikan keselamatan dan kestabilan negara," kata Zambry. Beliau berkata Rang Undang-undang itu juga akan menggabungkan keupayaan untuk menjangka dan menyesuaikan diri dengan landskap teknologi digital yang berkembang. Dengan berbuat demikian Malaysia berhasrat meletakkan dirinya sebagai destinasi yang selamat dan boleh dipercayai untuk pelaburan domestik dan antarabangsa," katanya. - Bernama
Read more:SINARH
2023-11-16 17:38:0

Catat Ulasan

0 Ulasan