Search

header ads

[SINARH] KUD@Putrajaya perkenal inisiatif Rural Tourism



PUTRAJAYA - Karnival Usahawan Desa@Putrajaya (KUD@Putrajaya) 2023 yang bakal diadakan pada 22 hingga 26 November ini di Anjung Floria, Putrajaya akan membawakan kelainan kepada pengunjung yang hadir. Kali ini, KUD@Putrajaya yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu menerapkan inisiatif memperkenalkan produk pelancongan luar bandar atau Rural Tourism sebagai tarikan utama. KUD@Putrajaya ini turut melibatkan 10 agensi di bawah KKDW iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), FELCRA Berhad, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Turut serta dalam karnival itu ialah pihak Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA). KKDW dalam satu kenyataan memaklumkan, karnival tersebut turut didokong oleh Bahagian Pembangunan Usahawan Desa (UD), Bahagian Korporat dan Pembangunan Kemahiran (K), Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti (EK) dan GiatMARA. Malah, KUD@Putrajaya yang menyasarkan kehadiran satu juta pengunjung itu dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 November ini dan diiringi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. "Komponen Rural Tourism diperkenalkan khusus untuk menggalakkan orang ramai mengenali tarikan-tarikan yang terdapat kawasan luar bandar. Usaha ini dijayakan oleh hampir semua agensi-agensi yang terlibat dalam Program Desa Lestari dan Konsep Desa Sejahtera," jelas kementerian itu dalam satu kenyataan dikeluarkan baru-baru ini. Rural Tourism Dalam insiatif Rural Tourism di bawah KEDA, pengunjung akan disajikan dengan aktiviti glamour camping atau "glamping" yang memenangkan di tepian laman padi di samping menikmati minuman kopi keluaran usahawan luar bandar bimbingan KEDA. Sementara itu, Rural Tourism KEJORA pula mempamerkan 'Pavilion Bahtera KEJORA' yang mempromosikan produk-produk tarikan pelancong di wilayah KEJORA dan Laman Kelulut serta peluang menyertai Gelanggang Sukan Rakyat yang akan mengimbau kenangan silam anak-anak kampung bermain sepak raga, batu seremban, boling kelapa dan congkak. Selain itu, Rural Tourism KETENGAH pula mempamerkan Laman Herba dan Laman Cendawan serta dimeriahkan lagi dengan tarikan beca berhias serta pameran Virtual HouseBoat Tasik Kenyir dan Kelah Sanctuary sebagai produk tarikan pelancongan luar bandar yang sangat terkenal di wilayah Terengganu Tengah. Tidak ketinggalan Rural Tourism KESEDAR yang mengetengahkan seni budaya negeri Kelantan sebagai tarikan pelancongan luar bandar seperti persembahan dikir barat, pameran serta demonstrasi wau bulan dan juga persembahan gasing terbang. Lebih mengujakan, KUD@Putrajaya pada kali ini turut disediakan jualan pelbagai aneka makanan dan minuman antaranya nasi kandar, nasi dagang, murtabak, rendang maman, nasi ambeng, mi bandung, patin masak tempoyak dan lain-lain hidangan yang pastinya memenuhi selera para pengunjung. Malah, KKDW turut menyasarkan RM10 juta nilai jualan dan transaksi sepanjang karnival itu berlangsung meliputi jualan makanan, padanan perniagaan dan tempahan. Lebih 800 usahawan Menurut KKDW, KUD@Putrajaya yang bermula jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari itu akan disertai lebih dari 800 usahawan dalam kategori makanan dan minuman, fesyen pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak, kecantikan dan kesihatan, kraftangan dan produk pertanian. Penyertaan para usahawan luar bandar yang berpotensi itu adalah di bawah bimbingan KKDW serta agensi-agensi di bawah kementerian sekali gus membantu meningkatkan produktiviti dan mengembangkan perniagaan mereka. "KUD @ Putrajaya turut mengadakan konsep centralised kitchen yang membolehkan pengunjung menikmati makanan panas serta minuman yang dihajati dengan mengimbas kod QR di kawasan sekitar. "Selain itu, perkhidmatan buggy, porter dan bas ulang-alik turut disediakan kepada pengunjung beberapa lokasi di tempat letak kereta awam sekitar Putrajaya ke tapak KUD@Putrajaya dengan kerjasama syarikat MARALiner," jelas KKDW. Pada masa sama, skarnival KUD@Putrajaya akan dimeriahkan dengan pemberian kupon penggalak jualan percuma seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini bernilai keseluruhan sehingga RM200,000 kepada semua pengunjung yang hadir. Info Ringkas Aktiviti KUD@Putrajaya 2023 Aktiviti Pameran Agensi dan Anak Syarikat - Pameran oleh bahagian-bahagian di bawah KKDW, agensi-agensi serta anak syarikat. - Keusahawanan, pendidikan serta penawaran kemudahan-kemudahan di bawah KKDW. Bahagian Usahawan Desa: - Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) - Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) - Program Start Right (PSR) Bahagian Ekonomi Komuniti: - Program Onboarding Usahawan, penerangan, pameran dan jualan, pitching dan pendaftaran bagi Program Desamall. - Program Pendigitalan Usahawan (PPU) bersama rakan-rakan strategik. - Pameran Program Desa Lestari di bawah tema Rural Tourism. - Kemudahan pembiayaan perniagaan, latihan keusahawanan dan penyewaan premis di bawah MARA. - Sesi Business Matching MARA. - Penerangan dan pendaftaran program-program di bawah KEMAS.
Read more:SINARH
2023-11-21 10:45:0

Catat Ulasan

0 Ulasan