PUTRAJAYA - Notis saman yang difailkan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris diserahkan melalui pemakluman secara penyampaian ganti. Fahmi berkata, pemakluman itu dibuat menerusi siaran di dalam akhbar tempatan berbahasa Inggeris susulan Wan Muhammad Azri gagal dihubungi sejak beberapa bulan lalu. "Oleh sebab surat saman ini tidak dapat diserah tangan kepada beliau, mahkamah pada 6 November lalu memerintahkan supaya peguam saya menyerahkan pemakluman secara penyampaian ganti. "Oleh itu, hari ini, notis tersebut telah diterbit dalam surat khabar The Star," katanya menerusi aplikasi X pada Selasa. Pada 7 September lalu, Fahmi memfailkan tindakan undang-undang terhadap Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo atas dakwaan memfitnah kononnya beliau memberikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor. Ahli Parlimen Lembah Pantai itu selaku plaintif turut menyaman penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani serta pemilik akaun Facebook 'N13 Kuang', Mohd Fauzan Madzlan selaku defendan. Berdasarkan pernyataan tuntutan, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa plaintif menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Read more:SINARH
2023-11-21 14:38:0
0 Ulasan