Search

header ads

[SINARH] Elaun: Bukti kerajaan iktiraf, hargai peranan petugas PEDi



Pengumuman kerajaan menambah elaun bulanan RM500 kepada Pengurus dan Penolong Pengurus dianggap satu pengiktirafan besar terhadap peranan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dalam mereaslisasikan agenda digitalisasi negara. Demikian dinyatakan Pengurus PEDi Felda Soeharto, Selangor, Rossyafira Muhamad, 37, yang mana beliau turut menyifatkan tambahan elaun itu mampu memberikan motivasi buat para petugas pusat berkenaan dalam menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat setempat. "Terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang menghargai peranan petugas PEDi. "Saya kira, tambahan elaun ini bukan sahaja membantu para Pengurus dan Penolong Pengurus dari segi kewangan, tetapi juga mampu memberi semangat kepada kami bekerja lebih kuat untuk masyarakat," katanya kepada Sinar Harian. Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri mengenai pemberian tambahan elaun bulanan RM500 kepada 1,322 Pengurus dan Penolong Pengurus PEDi di seluruh negara berkuatkuasa pada Januari tahun depan. Pandangan yang sama turut dikongsi P. Ravin Kumar, 28, yang mana selama empat tahun berkhidmat sebagai Pengurus di PEDi Bagan Serai, Perak, inilah kali pertama beliau menerima kenaikan elaun berkenaan. "Ini satu penghargaan kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang menghargai jasa Pengurus dan Penolong Pengurus PEDi. "Ini bukti keprihatinan kerajaan yang bukan sahaja mengambil kira kos sara hidup kami, tetapi memastikan kami terus berusaha untuk memberi khidmat kepada komuniti setempat sekali gus mencapai agenda transformasi digitalisasi negara," ujarnya. Sementara itu, Anwar ketika berucap semasa perasmian Persidangan PEDi MADANI 2023 di Putrajaya pada Rabu menegaskan, pemberian tambahan elaun itu merupakan dorongan kepada petugas pusat berkenaan yang telah menunjukkan prestasi terbaik dalam memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan masing-masing. "Saya terharu melihat penglibatan orang muda di dalam PEDi yang begitu bersemangat serta sentiasa memberi lebih dokongan," katanya. "Melihat kepada prestasi Pengurus dan Penolong Pengurus yang berjaya dan berdedikasi, saya harap agar setiap PEDi menyediakan laporan supaya ia dapat menjurus kepada kelompok yang lebih luas terutamanya memberi latihan dan memperkenalkan pelbagai aplikasi serta kecanggihan bidang ini," ujar Perdana Menteri. Persidangan Persidangan PEDi MADANI 2023 yang diadakan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Read more:SINARH
2023-12-01 9:45:0

Catat Ulasan

0 Ulasan