Search

header ads

[SINARH] Dua pengasuh taska ditahan disyaki dera, abai bayi autisme



KAJANG - Dua wanita yang merupakan pengasuh sebuah taska di Semenyih ditahan bagi siasatan melibatkan kecederaan seorang bayi perempuan autisme pada 29 Januari lalu. Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya sebelum ini telah mengesan hantaran media sosial pada 8 Februari lalu yang mengandungi beberapa video tular berkaitan penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang merupakan anak kepada pemilik akaun terbabit. Beliau berkata, semakan dijalankan mendapati laporan polis telah dibuat oleh ibu mangsa berumur 35 tahun pada 27 Januari lalu berkaitan kesan lebam pada dahi bayi perempuannya itu setelah diambil dari sebuah taska. "Menerusi laporan yang dibuat, wanita berkenaan mendapati terdapat kesan lebam pada dahi anaknya yang berumur 11 bulan itu setelah mengambil bayi berkenaan dari sebuah taska pada 24 Januari lalu. "Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di taska terbabit kemudian mendapati mangsa telah terjatuh daripada kerusi bayi," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu. Katanya, wanita berkenaan turut menyatakan telah menerima mesej dari individu tidak dikenali selepas dari kejadian itu. "Video itu memaparkan perbuatan disyaki penderaan dan pengabaian terhadap mangsa oleh pengasuh di taska terbabit. "Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kajang, Selangor untuk pemeriksaan fizikal dan disahkan mengalami kecederaan 'soft tissue injury over frontal'," katanya. Menurutnya, susulan itu beberapa anggota dari Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang kemudiannya membuat tangkapan terhadap individu dipercayai terlibat dalam kejadian. "Kedua-dua suspek masing-masing berumur 22 tahun itu diberkas pada 29 Januari lalu kira-kira jam 2 petang bagi siasatan lanjut berkaitan kes terbabit. "Kedua-dua suspek yang didapati tidak memiliki rekod jenayah lampau itu kemudiannya telah diberi jamin setelah keterangan diambil," katanya. Mohd Zaid berkata, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan telah dijalankan dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. "Siasatan lanjut masih dijalankan sebelum kertas siasatan dilengkapkan untuk dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk mendapatkan nasihat lanjut. "Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Mohamad Faeez Norzah di talian 013-2773407 untuk membantu siasatan," katanya.
Read more:SINARH
2024-02-10 18:24:0

Catat Ulasan

0 Ulasan