JOSE Mourinho dikhabarkan sedang mempelajari bahasa Jerman, sekali gus menguatkan lagi spekulasinya ke Bundesliga. Menurut laporan Bild, pengendali yang baru dipecat AS Roma itu tertarik untuk melatih Bayern Munich. Bayern ketika ini menghuni tangga kedua Bundesliga, namun kekalahan 0-3 kepada Bayer Leverkusen Sabtu lalu memberi tekanan kepada Thomas Tuchel yang mungkin dipecat sebaik sahaja kempen musim ini berakhir. Hasrat Mourinho untuk melatih kelab Jerman pernah didedahkan Bastian Shcweinsteiger semasa mereka bersama-sama di Manchester United pda 2015. Menurut Schweinsteiger, Mourinho kerap mengajukan pertanyaan mengenai kelab lamanya dan persaingan di Bundesliga. "Saya boleh membayangkan Mourinho di Jerman. Dia selalu bertanya mengenai Bayern dan Bundesliga setiap kali kami bersembang," katanya. Mourinho memiliki lima gelaran utama benua Eropah iaitu dua gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL), dua trofi Liga Europa dan pada 2022 menjulang trofi sulung Liga Konferensi Europa dengan AS Roma. Pengendali berusia 61 tahun dari Portugal itu membuat penampilan besar pada 2003 apabila mengemudi Porto menjulang Piala UEFA yang kemudiannya digantikan dengan Liga Europa dan pada tahun berikutnya, mereka muncul juara UCL
Read more:SINARH
2024-02-13 7:20:0
0 Ulasan