Search

header ads

[SINARH] Pemandu lori didenda RM35,000 miliki diesel tanpa lesen



SEREMBAN - Pemandu lori didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan memiliki barang kawalan berjadual iaitu 13,405 liter diesel tanpa lesen sah, dua tahun lalu. Hakim Mazni Nawi menjatuhkan hukuman itu terhadap orang kena saman (OKS), M Jagathisan, 33, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan. Mahkamah turut memerintahkan penjara empat bulan jika OKS gagal membayarnya. Mengikut pertuduhan, terdapat dalam milikannya barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 13,405 liter, dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1975 iaitu berurusan dengan minyak diesel secara runcit atau borong tanpa lesen. Kesalahan dilakukan di sebuah premis beralamat di Batu 6, Jalan Seremban, Port Dickson kira-kira jam 11.30 pagi, Ogos 2022. Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama. Jika disabitkan, denda tidak lebih RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh maksimum tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak lebih RM3 juta atau dipenjarakan tempoh maksimum lima tahun atau kedua-duanya. Peguam Harcharan Singh yang mewakili tertuduh merayu kepada mahkamah supaya mengenakan denda maksimum RM30,000 kerana tertuduh kini penanggung utama kepada isteri dan dua anak dengan pendapatan RM2,000 sebulan sebagai pemandu lori. Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Nazaruddin Zainuddin meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira ketirisan cukai yang hilang akibat penyelewengan. Mahkamah kemudiannya menetapkan denda RM35,000 dan jika gagal bayar boleh dipenjarakan empat bulan selain lori yang dirampas dilucut hak dan tiga telefon bimbit diserahkan kembali kepada tertuduh.
Read more:SINARH
2024-02-07 12:25:0

Catat Ulasan

0 Ulasan