IPOH - Seorang anggota polis berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas tuduhan merogol seorang pelajar Tingkatan 4 pada Januari lalu. Tertuduh, Sharil Amir Shaari, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terbabit. Mengikut pertuduhan, perbuatan terkutuk itu didakwa dilakukan ke atas mangsa yang berusia 16 tahun dalam sebuah kereta di hadapan sebuah pasar raya di Persiaran Seri Iskandar Prima 1, Seri Iskandar jam 4 petang pada 12 Januari 2024. Pertuduhan tersebut dikenakan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. Pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwaan Raya, Qurratu'aini Khalifah tidak menawarkan sebarang jaminan bagi memastikan tertuduh tidak mengganggu mangsa. Bagaimanapun peguam tertuduh, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid meminta jaminan diberikan kepada anak guamnya dengan alasan tertuduh memberi kerjasama yang baik semasa siasatan dijalankan selain perlu melapor diri pada setiap hari Isnin dan Khamis kepada ketua polis balai. Ahmad Shamil Azad juga turut meminta jaminan diberikan pada kadar paling minimum kerana gaji tertuduh hanya tinggal RM2,000 selain mempunyai tanggungan seorang isteri dan lima anak. Hakim Ainul Shahrin Mohamad kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin. Mahkamah menetapkan 25 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan untuk serahan dokumen berkaitan. Pada 28 Januari lalu, media melaporkan seorang anggota polis yang bertugas sebagai timbalan ketua polis balai itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dan direman. Bagaimanapun lelaki terbabit sekali lagi direman di Mahkamah Majistret Batu Gajah pada 2 Februari lalu bagi membantu siasatan terhadap satu lagi kes rogol.
Read more:SINARH
2024-02-08 10:26:0
0 Ulasan