Search

header ads

[SINARH] Skuad terjun negara tiada pelapis ampuh - Penganalisis sukan



KEGAGALAN skuad terjun kebangsaan menambah jumlah atlet ke Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar menunjukkan ketiadaan pelapis yang 'ampuh' bagi sukan itu. Penganalisis sukan, Mohd Sadek Mustafa berkata, hal ini berkait rapat dengan kesilapan percaturan Persekutuan Renang Malaysia (MS) yang gagal menjelmakan kesinambungan kejayaan skuad terjun negara pada 2012 yang meraih pingat perak di Sukan Olimpik London menerusi Datuk Pandelela Rinong. "Kita lihat kegagalan persatuan renang merencana program selepas Olimpik London 2012 bila Pandelela menang pingat, kalau kita bina pelapis ketika itu yang muda akan menjadi atlet yang bertanding sekarang hasil daripada perancangan 12 tahun, mereka sudah matang dan bertanding di kejohanan dunia. "Yang bertanding sepatutnya generasi baharu dan generasi Datuk Pandelela sudah tiada. "Itu yang dibuat pasukan negara Eropah, China dan Amerika Selatan, mereka yang bertanding semua generasi baharu, itu yang menyebabkan kita tidak berjaya," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu. Beliau berkata, Pandelela sepatutnya sudah bersara dan menjadi jurulatih untuk menjelmakan 'Pandelela Kedua' dengan mencari bakat baharu. Mohd Sadek berkata, Jawatankuasa Road to Gold (RTG) juga perlu mempertimbang Bertrand Rhodict Lises selain memberi tumpuan kepada penerjun muda itu untuk lebih menyinar di pentas antarabangsa memandangkan beliau telah layak ke temasya sukan berprestij di dunia tersebut yang akan bermula Julai ini. "Bila Pandelela dan Nur Dhabitah Sabri tidak layak, sudah tiada justifikasi mereka di dalam program RTG, mereka sendiri perlu sedar dan undur diri dari RTG, beri peluang untuk Bertrand," katanya. Bertrand, 18, merupakan satu-satunya individu membawa cabaran skuad terjun negara ke Sukan Olimpik 2024 menerusi acara 10 meter (m) platform lelaki manakala nama besar seperti Pandelela dan Nur Dhabitah gagal melayakkan diri. Pandelela gagal melepasi had kelayakan acara 10m platform individu dan seirama wanita (bergandingan dengan Nur Dhabitah) manakala Nur Dhabitah tidak menyerlah dalam 10m platform seirama (bergandingan dengan Pandelela), 3m papan anjal seirama (bergandingan dengan Wendy Ng) dan 3m papan anjal individu pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar yang sedang berlangsung. Mohd Sadek turut menyarankan agar MS membuat program untuk mencari bakat baharu di seluruh negara seperti Program Mencari Ramli bagi sukan bola sepak. "Kita tiada satu 'pool' pelapis di bawah usia 18 tahun, jadi itu yang kita perlu cari, pusing satu negara untuk mencari bakat. Kita perlu serius dan dibuat oleh persatuan, paling cepat 10 tahun baru kita mendapat hasil," katanya. - Bernama
Read more:SINARH
2024-02-10 19:44:0

Catat Ulasan

0 Ulasan